BSM
Audio:
Drama
  • Drama
  • Non-Drama
Text Size

TITUS 3 - Malay Bahasa - 2001 Today's Malay Version - Bible.is - MLYBSM

  1  Ingatkan anggota jemaahmu supaya taat kepada pemerintah dan penguasa, patuh kepada mereka dan bersedia melakukan segala perkara yang baik.   2  Beritahu jemaahmu supaya tidak mengumpat ataupun bertengkar dengan sesiapa pun, tetapi bersikap ramah tamah dan lemah lembut kepada semua orang.   3  Kita harus bersikap demikian, kerana dahulu kita juga bodoh, tidak taat, dan sesat. Kita diperhamba oleh berbagai-bagai nafsu dan keinginan. Hidup kita dipenuhi dengan perasaan dengki dan cemburu, dan kita saling membenci.   4  Tetapi Allah, Penyelamat kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati-Nya kepada kita.   5  Dia menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh-Nya, yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita.   6  Allah melimpahkan Roh-Nya kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita,   7  supaya oleh rahmat-Nya, kita berbaik semula dengan Allah, dan kita menerima hidup sejati dan kekal yang kita harap-harapkan.   8  Kata-kata itu sungguh benar. Aku mahu engkau memberikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut, supaya orang yang percaya kepada Allah sungguh-sungguh berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan berguna bagi semua orang.   9  Tetapi jauhkanlah diri daripada perdebatan yang sia-sia, senarai nenek moyang, pertengkaran, dan perkelahian tentang Taurat. Semua itu sia-sia dan tidak berguna.   10  Berikanlah amaran kepada orang yang menyebabkan perpecahan dalam jemaah. Nasihatilah orang itu sekurang-kurangnya dua kali, setelah itu jauhilah dia.   11  Engkau tahu bahawa orang seperti itu jahat dan dosa-dosanya membuktikan dia bersalah.   12  Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, berusahalah seboleh-bolehnya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah mengambil keputusan akan tinggal di sana pada musim sejuk.   13  Berusahalah seboleh-bolehnya untuk menolong Zenas, peguam itu dan Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan. Pastikanlah mereka tidak kekurangan apa-apa.   14  Hendaklah jemaah kita mengamalkan perbuatan baik supaya dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian hidup mereka berguna.   15  Semua saudara yang bersama-sama aku mengirim salam kepadamu. Sampaikanlah salam kami kepada sahabat-sahabat kita yang seiman. Semoga Allah memberkati kamu semua.