ROMA 9

1Apa yang aku katakan ini benar; aku milik Kristus dan aku tidak berdusta. Hati nuraniku yang dikuasai oleh Roh Allah, juga meyakinkan aku bahawa aku tidak berdusta. 2Aku sangat sedih dan menderita, 3kerana saudara-saudaraku, orang yang sebangsa denganku. Bagi kepentingan mereka, aku rela dikutuk oleh Allah dan dipisahkan daripada Kristus. 4Merekalah umat yang dipilih oleh Allah; Allah menjadikan mereka anak-Nya sendiri dan menunjukkan kemuliaan-Nya kepada mereka. Dia mengadakan perjanjian-perjanjian dengan mereka dan memberi mereka Taurat. Mereka diberitahu oleh Allah cara menyembah Dia dengan betul, dan mereka menerima janji-janji Allah. 5Mereka keturunan nenek moyang kita yang terkemuka. Kristus, sebagai manusia, berasal daripada bangsa mereka. Hendaklah Allah yang menguasai segala sesuatu, dipuji selama-lamanya! Amin. 6Aku tidak mengatakan bahawa apa yang dijanjikan oleh Allah tidak berlaku. Apa yang dijanjikan-Nya sudah berlaku, kerana bukan semua orang Israel umat yang dipilih-Nya. 7Bukan semua keturunan Abraham anak-anak Allah. Allah berfirman kepada Abraham, “Hanya keturunan Ishak yang akan disebut keturunanmu.” 8Hal ini bererti bahawa tidak semua keturunan Abraham menjadi anak-anak Allah, tetapi hanya keturunan yang dilahirkan menurut janji Allah. 9Hal itu demikian, kerana inilah yang difirmankan oleh Allah ketika Dia berjanji kepada Abraham, “Pada waktu yang ditetapkan, Aku akan kembali, dan Sara akan melahirkan seorang anak lelaki.” 10Bukan demikian sahaja. Kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, nenek moyang kita. 11- 12Untuk menunjukkan bahawa salah seorang anak itu anak pilihan Allah, Allah berfirman kepada Ribkah, “Yang sulung akan melayani yang bongsu.” Allah berfirman demikian sebelum kedua-dua anak itu lahir dan sebelum mereka tahu berbuat apa yang baik atau yang jahat. Dengan demikian nyatalah bahawa pilihan Allah itu tidak berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan panggilan Allah sendiri. 13Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, “Yakub Aku kasihi, tetapi Esau Aku benci.” 14Jika demikian, bolehkah kita katakan bahawa Allah tidak adil? Tentu tidak boleh! 15Allah berfirman kepada Musa, “Aku akan merahmati orang yang hendak Aku rahmati, dan Aku akan mengasihani orang yang hendak Aku kasihani.” 16Oleh itu, keputusan Allah tidak bergantung kepada kehendak atau perbuatan manusia, tetapi hanya kepada belas kasihan Allah. 17Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Allah berfirman kepada raja Mesir, ‘Untuk maksud ini Aku melantik engkau menjadi raja, supaya melalui engkau, Aku menyatakan kekuasaan-Ku dan memasyhurkan nama-Ku di seluruh dunia.’ ” 18Oleh itu, Allah berbelas kasihan kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah menjadikan orang berkeras kepala jika Dia berkehendak demikian. 19Lalu kamu akan bertanya kepadaku, “Jika demikian mengapa Allah mahu menyalahkan manusia? Siapa dapat melawan kehendak Allah?” 20Tetapi saudaraku, siapakah kamu sehingga berani menyoal Allah? Bolehkah periuk tanah bertanya kepada yang membuatnya, “Mengapa aku dibuat begini?” 21Bukankah orang yang membuat periuk berhak menggunakan tanah liat itu sekehendak hatinya? Dengan segumpal tanah liat, dia boleh membuat dua buah periuk: yang satu untuk kegunaan khas dan yang satu lagi untuk kegunaan sehari-hari. 22Begitu juga halnya dengan apa yang dilakukan oleh Allah. Dia ingin menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya. Tetapi Allah sangat sabar terhadap mereka yang menjadi sasaran kemurkaan-Nya, iaitu mereka yang akan dimusnahkan. 23Allah juga ingin menyatakan kebahagiaan berlimpah-limpah, yang dicurahkan-Nya kepada kita yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya. Kita sudah disiapkan oleh-Nya untuk menerima kebahagiaan itu. 24Kita ini orang yang sudah dipanggil-Nya, dan kita terdiri daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi. 25Di dalam kitab Nabi Hosea, Allah berfirman, “Orang yang bukan umat-Ku, akan Aku sebut ‘Umat-Ku.’ Bangsa yang tidak Aku kasihi, akan Aku sebut ‘Kekasih-Ku.’ 26Di tempat Allah berfirman, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situ juga mereka akan disebut anak-anak Allah yang hidup.” 27Nabi Yesaya berseru tentang orang Israel, “Sungguhpun bilangan orang Israel sebanyak pasir di laut, hanya sedikit sahaja yang akan diselamatkan; 28kerana Tuhan akan segera menjatuhkan hukuman kepada semua orang di bumi.” 29Seperti yang dikatakan Yesaya dahulu, “Seandainya Tuhan Yang Maha Kuasa tidak memberi kita keturunan, pastilah kita semua sudah menjadi seperti Sodom dan Gomora.” 30Oleh itu, inilah kesimpulannya: Orang bukan Yahudi yang tidak berusaha untuk berbaik semula dengan Allah, sekarang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada-Nya. 31Sebaliknya orang Israel yang selalu mencari hukum yang membolehkan mereka berbaik semula dengan Allah, tidak menjumpainya. 32Mereka tidak menjumpai hukum itu kerana mereka bergantung kepada usaha mereka sendiri, dan tidak percaya kepada Allah. Oleh itu mereka tersandung pada ‘batu sandungan’. 33Di dalam Alkitab ada tertulis tentang batu itu, “Lihatlah, Aku meletakkan satu batu di Sion yang akan menyebabkan orang tersandung, satu batu besar yang akan menyebabkan orang jatuh. Tetapi orang yang percaya kepada Dia, tidak akan dikecewakan.”

will be added

X\