ROMA 5

1Sekarang kita sudah berbaik semula dengan Allah kerana kita percaya kepada-Nya. Oleh itu kita hidup dalam kedamaian dengan Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita. 2Yesus membolehkan kita mengalami rahmat Allah, kerana kita percaya kepada Yesus dan sekarang kita menghayati rahmat itu. Oleh itu, kita membanggakan harapan untuk beroleh bahagian dalam kemuliaan Allah. 3Kita juga membanggakan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan menghasilkan ketekunan. 4Ketekunan menyebabkan kita diperkenankan oleh Allah. Oleh itu kita mempunyai harapan. 5Harapan itu tidak akan mengecewakan kita, kerana Allah sudah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita. Allah melakukan hal itu dengan perantaraan Roh-Nya, yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. 6Semasa kita dalam keadaan tidak berdaya, Kristus mati pada masa yang ditetapkan oleh Allah untuk menyelamatkan kita, orang yang jahat. 7Susahlah orang mahu mati bagi orang yang mentaati hukum agama. Mungkin ada orang yang bersedia mati bagi orang yang baik hati. 8Tetapi Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa. 9Melalui kematian Kristus, kita sekarang berbaik semula dengan Allah. Oleh itu kita pasti akan diselamatkan oleh Kristus daripada kemurkaan Allah kelak. 10Dahulu kita bermusuhan dengan Allah, tetapi Allah menjadikan kita sahabat-sahabat-Nya melalui kematian Anak-Nya. Sekarang sebagai sahabat-sahabat Allah, kita pasti akan diselamatkan kerana Kristus hidup. 11Bukan itu sahaja; kita pun bersukacita kerana apa yang sudah dilakukan oleh Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Melalui Kristus, kita sekarang dijadikan sahabat-sahabat Allah. 12Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa. 13Dosa sudah ada di dalam dunia sebelum Taurat diberikan. Tetapi jika tidak ada hukum, dosa tidak diperhitungkan. 14Sungguhpun demikian, dari zaman Adam sampai kepada zaman Musa, maut menguasai segenap umat manusia, termasuk orang yang tidak berbuat dosa seperti yang dilakukan oleh Adam ketika dia melanggar perintah Allah. Adam itu gambaran daripada Dia yang akan datang kemudian. 15Tetapi kedua-dua mereka tidak sama, kerana anugerah Allah sangat berbeza dengan dosa Adam. Memang betul bahawa banyak orang mati akibat dosa satu orang itu. Tetapi jauh lebih besar lagi akibat daripada rahmat Allah dan anugerah penyelamatan-Nya yang diberikan kepada banyak orang melalui rahmat satu orang, iaitu Yesus Kristus. 16Anugerah Allah juga jauh lebih besar daripada dosa satu orang itu. Setelah satu orang itu berdosa, Allah memberikan keputusan “Bersalah”. Tetapi setelah banyak orang berbuat dosa, Allah mengurniakan anugerah-Nya dengan menyatakan mereka, “Tidak bersalah!” 17Memang betul bahawa melalui satu orang itu, maut mula berkuasa kerana dosa satu orang itu. Tetapi lebih besar lagi hal yang dicapai oleh satu orang lain, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia, Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada banyak orang, dan dengan anugerah-Nya mereka dapat berbaik semula dengan Allah, serta akan hidup dan berkuasa melalui Kristus. 18Oleh itu sebagaimana umat manusia dihukum kerana dosa satu orang; dengan cara yang sama semua orang dibebaskan daripada kesalahan dan diberikan hidup, kerana perbuatan satu orang yang melakukan kehendak Allah. 19Sebagaimana semua orang menjadi orang berdosa kerana satu orang tidak taat, demikian juga orang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana satu orang taat kepada Allah. 20Taurat diberikan oleh Allah. Tetapi apabila manusia semakin berusaha untuk mentaati Taurat, mereka semakin melanggarnya dan berdosa terhadap Allah. Tetapi apabila dosa bertambah, rahmat Allah pun semakin bertambah. 21Oleh itu sebagaimana orang harus mati kerana berbuat dosa, demikian juga rahmat Allah berkuasa untuk membolehkan kita berbaik semula dengan Allah, sehingga kita beroleh hidup sejati dan kekal melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.

will be added

X\