ROMA 14

1Orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka harus disambut dengan baik di kalangan kamu. Janganlah bertengkar dengan mereka tentang pendirian peribadi. 2Ada orang yang berpendirian bahawa mereka boleh makan apa sahaja, tetapi orang yang lemah keyakinannya hanya makan sayur-sayuran. 3Orang yang makan apa sahaja tidak boleh menghina orang yang makan makanan tertentu, dan orang yang hanya makan makanan tertentu tidak boleh menyalahkan orang yang makan apa sahaja, kerana Allah sudah menerima dia. 4Siapakah kamu sehingga kamu mahu menyalahkan hamba orang lain? Hanya tuannya yang berhak menentukan baik tidaknya kerja hamba itu. Sesungguhnya hamba itu akan berjaya melakukan kerjanya, kerana Tuhan menolong dia. 5Ada orang yang berpendapat bahawa suatu hari tertentu lebih mustahak daripada hari yang lain, sedangkan orang lain berpendapat bahawa semua hari sama sahaja. Hendaklah setiap orang yakin akan pendiriannya. 6Sesiapa yang mengutamakan hari-hari tertentu, berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Sesiapa yang makan apa sahaja, berbuat demikian untuk menghormati Tuhan, kerana dia bersyukur kepada Allah bagi makanan itu. Sesiapa yang hanya makan makanan tertentu, juga menghormati Tuhan dan bersyukur kepada Allah. 7Tidak seorang pun di kalangan kita yang hidup atau mati bagi dirinya sendiri. 8Jika kita hidup, kita hidup untuk Tuhan. Jika kita mati, kita pun mati untuk Tuhan. Sama ada kita hidup atau mati, kita milik Tuhan. 9Kristus mati dan hidup semula supaya Dia menjadi Tuhan kepada orang hidup dan orang mati juga. 10Oleh itu, mengapa kamu menyalahkan saudara kamu? Mengapa kamu yang lain menghina saudara kamu? Kita semua akan menghadap Allah untuk diadili. 11Di dalam Alkitab tertulis, “Sesungguhnya,” firman Tuhan, “tiap-tiap orang akan sujud di hadapan-Ku, dan tiap-tiap orang akan mengaku bahawa Aku Allah.” 12Oleh itu, kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Allah. 13Oleh itu janganlah kita salahkan satu sama lain. Sebaliknya kamu harus mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saudara kamu tergoda dan berdosa. 14Kerana aku bersatu dengan Tuhan Yesus, aku yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang pada dasarnya najis, tetapi jika seseorang menganggap sesuatu hal najis, maka najislah hal itu bagi dia. 15Jika apa yang kamu makan, menyakiti hati seorang saudara seiman, tindakan kamu itu tidak berdasarkan kasih. Janganlah hancurkan seseorang dengan apa yang kamu makan, kerana Kristus sudah mati baginya. 16Janganlah sebabkan apa yang kamu anggap baik, dianggap jahat oleh orang lain. 17Hal itu demikian kerana Pemerintahan Allah bukanlah soal makanan atau minuman, tetapi kerelaan melakukan kehendak Allah, ketenangan hati, dan kegembiraan, yang semuanya dikurniakan oleh Roh Allah. 18Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara demikian, menyenangkan hati Allah dan dihargai orang lain. 19Itulah sebabnya kita harus sentiasa bertujuan untuk melakukan hal-hal yang membawa kerukunan, dan yang saling menguatkan iman. 20Janganlah rosakkan apa yang sudah dilakukan oleh Allah, hanya kerana soal makanan. Semua makanan boleh dimakan, tetapi jika apa yang kamu makan menyebabkan orang lain berdosa, maka perbuatan itu salah. 21Lebih baik tidak makan daging, atau minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan seorang saudara seiman berdosa. 22Apa yang kamu percayai tentang perkara-perkara itu, biarlah hal itu diketahui oleh Allah dan kamu sahaja. Berbahagialah orang yang tidak berasa bersalah, apabila dia melakukan apa yang dianggapnya benar. 23Tetapi jika seseorang meragui apa yang dimakannya, Allah menyalahkan dia, kerana perbuatan orang itu tidak berdasarkan keyakinan bahawa apa yang dilakukannya itu benar. Perbuatan seperti itu dosa.

will be added

X\