ROMA 13

1Setiap orang harus taat kepada pemerintah, kerana pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah. Pemerintah yang ada sekarang pun ditetapkan oleh Allah. 2Oleh itu orang yang menentang pemerintah, menentang apa yang sudah ditetapkan oleh Allah. Sesiapa yang berbuat demikian akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri. 3Mereka yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah. Hanya mereka yang berbuat jahat harus takut. Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pemerintah, berbuatlah baik, lalu kamu akan dipuji. 4Hal itu demikian, kerana pemerintah itu hamba Allah, yang berkhidmat bagi kebaikan kamu. Tetapi jika kamu berbuat jahat, takutlah kepadanya, kerana pemerintah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman. Pemerintah itu hamba Allah, yang menjatuhkan hukuman Allah kepada orang yang berbuat jahat. 5Itulah sebabnya kamu harus taat kepada pemerintah - bukan sahaja kerana takut kepada hukuman Allah, tetapi kerana hati nurani kamu menyuruh kamu berbuat demikian. 6Itulah sebabnya pula kamu membayar cukai, kerana pemerintah berkhidmat kepada Allah apabila menjalankan tugas. 7Bayarlah apa yang harus kamu bayar kepada pemerintah. Bayarlah cukai pendapatan, jika kamu harus membayarnya. Bayarlah cukai tanah, jika kamu harus membayarnya. Hormatilah mereka yang harus dihormati, dan hargailah mereka yang harus dihargai. 8Janganlah berhutang kepada sesiapa pun, kecuali berhutang kasih terhadap satu sama lain. Sesiapa yang mengasihi sesama manusia, mentaati Taurat. 9Hukum yang mengatakan, “Jangan berzina; jangan membunuh; jangan mencuri; jangan tamak” - semua ini dan hukum yang lain, sudah disimpulkan menjadi satu hukum sahaja, “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” 10Orang yang mengasihi orang lain, tidak akan berbuat jahat kepada orang itu. Oleh itu orang yang mengasihi sesama manusia, mentaati keseluruhan Taurat. 11Kamu harus melakukan semuanya, kerana kamu tahu bahawa inilah masanya kamu bangun daripada tidur. Hal itu demikian kerana masa kita diselamatkan lebih dekat sekarang ini daripada masa kita mula percaya. 12Malam hampir berlalu, dan fajar akan menyingsing. Marilah kita berhenti melakukan perkara-perkara yang dilakukan dalam kegelapan. Marilah kita lengkapi diri seolah-olah dengan senjata yang digunakan dalam terang. 13Kita harus berkelakuan baik seperti orang yang hidup dalam terang dan bukan dalam kegelapan. Janganlah ikut pesta liar atau mabuk. Janganlah berkelakuan lucah atau tidak senonoh. Janganlah berkelahi ataupun iri hati. 14Tetapi biarlah Tuhan Yesus Kristus menjadi pelindung kamu. Janganlah turuti tabiat manusia berdosa untuk memuaskan hawa nafsu.

will be added

X\