ROMA 1

1Surat ini daripada Paulus, hamba Kristus Yesus, dan rasul yang dipilih serta dipanggil oleh Allah, untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. 2Berita Baik itu telah dijanjikan oleh Allah sejak dahulu kala melalui nabi-nabi-Nya, dan janji itu tertulis di dalam Alkitab. 3Berita Baik itu tentang Anak Allah, Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagai manusia, Dia keturunan Daud, 4tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian. 5Melalui Dia, Allah sudah menganugerahi aku tugas istimewa untuk menjadi seorang rasul, supaya aku dapat mengabdikan diri kepada Kristus dengan memimpin orang daripada semua bangsa agar percaya dan taat kepada-Nya. 6Kamu yang tinggal di Roma juga termasuk dalam golongan mereka, kerana kamu pun sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi milik Yesus Kristus. 7Oleh itu aku menulis surat ini kepada kamu semua di Roma yang dikasihi oleh Allah, dan yang sudah dipanggil oleh-Nya untuk menjadi umat-Nya. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 8Mula-mula sekali, aku bersyukur kepada Allah melalui Yesus Kristus bagi kamu semua, kerana seluruh dunia mendengar bahawa kamu percaya kepada Yesus. 9- 10Aku sentiasa mengingat kamu, setiap kali aku berdoa. Allah saksiku bahawa apa yang aku katakan itu benar. Dialah Allah yang aku taati dengan sepenuh hati dalam hal mengisytiharkan Berita Baik tentang Anak-Nya. Aku berdoa supaya Allah mengizinkan aku melawat kamu. 11Aku sangat ingin berjumpa dengan kamu, supaya aku dapat berkongsi berkat daripada Roh Allah dengan kamu, untuk menguatkan kamu. 12Maksudku adalah supaya kepercayaanku kepada Yesus boleh menguatkan kamu, dan kepercayaan kamu kepada Yesus boleh menguatkan aku. 13Saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa sudah banyak kali aku bercadang hendak melawat kamu, tetapi selalu ada sahaja halangannya. Aku ingin supaya pelayananku di kalangan kamu berhasil, seperti pelayananku di kalangan orang bukan Yahudi di tempat lain. 14Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. 15Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma. 16Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi. 17Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, iaitu melalui kepercayaan kepada-Nya, dari mula sehingga akhir. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah baik semula, orang itu akan hidup!” 18Dari syurga Allah menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap segala dosa dan kejahatan manusia, kerana kejahatan menghalangi manusia untuk mengetahui ajaran benar tentang Allah. 19Allah menghukum manusia, kerana apa yang dapat diketahui orang tentang Allah sudah jelas, oleh sebab Allah sendiri sudah menyatakannya. 20Sejak Allah menciptakan dunia, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Allah, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya. Oleh itu manusia sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri. 21Mereka mengenal Allah, tetapi mereka tidak menghormati Dia sebagai Allah. Mereka tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya mereka memikirkan perkara yang bukan-bukan, dan fikiran mereka dipenuhi kegelapan. 22Mereka mengaku bijak, padahal mereka bodoh. 23Mereka tidak menyembah Allah yang abadi, melainkan menyembah patung yang dibuat menurut rupa manusia yang fana, atau burung, atau binatang berkaki empat, ataupun binatang yang menjalar. 24Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka dikuasai oleh keinginan hati untuk melakukan perkara yang hina dan keji. Mereka melakukan hal-hal yang memalukan terhadap satu sama lain. 25Mereka menukar ajaran benar daripada Allah dengan dusta. Mereka lebih suka menyembah dan mentaati apa yang diciptakan oleh Allah, daripada menyembah dan mentaati Allah yang menciptakan semuanya. Dialah yang seharusnya dipuji selama-lamanya! Amin. 26Kerana manusia berbuat demikian, Allah menyerahkan mereka kepada hawa nafsu yang keji. Wanita melakukan hubungan jenis dengan sesama wanita, dan hal itu tidak sepatutnya dilakukan. 27Begitu juga halnya dengan lelaki; mereka tidak lagi melakukan hubungan jenis dengan wanita, melainkan berahi terhadap sesama lelaki. Lelaki melakukan hubungan jenis dengan sesama lelaki, dan hal itu memalukan. Oleh itu mereka menerima hukuman yang setimpal dengan dosa mereka. 28Kerana manusia tidak mahu mengakui Allah, Allah membiarkan fikiran mereka menjadi rosak, sehingga mereka melakukan hal-hal yang tidak senonoh. 29Hati mereka penuh dengan kejahatan, kekejaman, ketamakan, kebusukan dan kedengkian, keinginan untuk membunuh, berkelahi, menipu, dan mendendam. Mereka suka mengumpat, 30memburukkan nama orang lain; mereka sombong dan biadab, yang membenci Allah dan bercakap besar. Mereka memikirkan cara-cara baru untuk melakukan kejahatan. Mereka melawan ibu bapa, 31tidak berakhlak, memungkiri janji, dan tidak berperikemanusiaan. 32Mereka tahu bahawa menurut hukum Allah, orang yang berbuat semua itu harus dihukum mati. Namun demikian mereka terus-menerus melakukan hal-hal itu; bahkan mereka menyetujui orang lain yang berbuat demikian.

will be added

X\