WAHYU 7

1Setelah itu, aku nampak empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi, dan menahan keempat-empat angin di bumi supaya tidak bertiup di darat, di laut, ataupun pada pokok-pokok. 2Lalu aku nampak malaikat lain muncul dari sebelah timur, dengan membawa meterai yang digunakan oleh Allah yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu memanggil keempat-empat malaikat yang sudah diberikan kuasa oleh Allah untuk merosakkan darat dan laut. 3Malaikat itu berkata, “Janganlah rosakkan darat, atau laut, ataupun pokok-pokok, sehingga kami telah memeterai dahi hamba-hamba Allah kita.” 4Aku diberitahu bahawa 144,000 orang ditandai dengan meterai Allah pada dahi mereka. Mereka berasal daripada dua belas suku Israel; 5- 8dua belas ribu orang daripada setiap suku, iaitu suku Yehuda, Ruben, Gad, Asyer, Naftali, Manasye, Simeon, Lewi, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin. 9Setelah itu aku melihat lagi, lalu nampak lautan manusia yang luar biasa banyaknya. Tidak seorang pun dapat mengira mereka! Mereka daripada setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa. Dengan berpakaian jubah putih dan dengan memegang daun palma di tangan, mereka berbaris-baris berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba itu. 10Mereka berseru dengan suara kuat, “Kita telah diselamatkan oleh Allah kita, yang duduk di atas takhta, dan oleh Anak Domba itu!” 11Semua malaikat berdiri di sekeliling takhta, para pemimpin, dan keempat-empat makhluk itu. Lalu mereka semua bersujud di hadapan takhta dan menyembah Allah. 12Mereka berkata, “Amin! Pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, penghormatan, kekuasaan, dan kemegahan bagi Allah kita selama-lamanya! Amin.” 13Salah seorang pemimpin itu bertanya kepadaku, “Siapakah mereka yang berjubah putih itu, dan dari manakah mereka datang?” 14“Saya tidak tahu, tetapi tuan tahu,” jawabku. Dia berkata kepadaku, “Merekalah orang yang berjaya melalui masa penganiayaan yang dahsyat itu. Mereka telah membasuh dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Domba itu. 15Itulah sebabnya mereka berdiri di hadapan takhta Allah, dan beribadat kepada-Nya siang malam di dalam rumah Allah. Dia yang duduk di atas takhta akan melindungi mereka dengan hadirat-Nya. 16Mereka tidak akan lapar ataupun dahaga lagi; matahari ataupun panas terik tidak akan membakar mereka lagi. 17Hal itu demikian kerana Anak Domba yang di tengah-tengah takhta itu akan menggembalakan mereka, dan Dia akan memimpin mereka ke sumber air yang memberikan hidup. Allah akan menyapu air mata mereka.”

will be added

X\