WAHYU 4

1Sesudah itu aku nampak suatu penglihatan lagi. Aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi trompet, yang pernah bercakap kepadaku berkata, “Marilah naik ke sini. Aku akan menunjukkan apa yang harus berlaku selepas ini.” 2Dengan segera Roh Allah menguasai aku. Aku melihat sebuah takhta di syurga dan seseorang duduk di atas takhta itu. 3Mukanya bersinar seperti batu jasper dan batu sardis. Takhta itu dikelilingi oleh pelangi yang bersinar seperti zamrud. 4Di lingkaran yang mengelilingi takhta itu terdapat dua puluh empat buah takhta lain. Di situ duduk dua puluh empat orang pemimpin yang berpakaian putih dan memakai mahkota emas. 5Takhta ini memancarkan pancaran kilat dan aku mendengar gemuruh bunyi guruh. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh buah suluh yang bernyala; itulah ketujuh-tujuh Roh Allah. 6Di hadapan takhta itu terdapat sesuatu yang kelihatan seperti lautan kaca, hening seperti kristal. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu makhluk pada setiap sisi takhta. Makhluk itu diliputi mata pada bahagian depan dan belakang. 7Makhluk yang pertama rupanya seperti singa, yang kedua rupanya seperti lembu jantan, yang ketiga mempunyai muka seperti muka manusia, dan yang keempat rupanya seperti burung helang yang sedang terbang. 8Setiap makhluk itu mempunyai enam buah sayap. Keempat-empat makhluk itu diliputi mata, bahkan bahagian bawah sayap. Siang malam makhluk-makhluk itu tidak henti-hentinya menyanyi, “Suci, suci, sucilah Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.” 9Keempat-empat makhluk itu menyanyikan lagu-lagu kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran kepada Dia yang duduk di atas takhta itu, iaitu Dia yang hidup selama-lamanya. Ketika makhluk-makhluk ini menyanyi, 10dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Dia yang duduk di atas takhta itu dan menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka meletakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu dan berkata, 11“Ya Tuhan dan Allah kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.”

will be added

X\