WAHYU 21

1Kemudian aku nampak langit baru dan bumi baru. Langit pertama dan bumi pertama tidak ada lagi, dan laut pun lenyap. 2Aku nampak kota suci itu, Yerusalem baru turun dari syurga daripada Allah. Kota itu sudah disiapkan seperti pengantin perempuan yang telah berhias untuk menemui suaminya. 3Aku mendengar suara lantang berseru dari takhta itu, “Sekarang Allah tinggal bersama-sama manusia! Dia akan hidup bersama-sama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Allah sendiri akan tinggal bersama-sama mereka dan menjadi Allah mereka. 4Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.” 5Kemudian Dia yang duduk di atas takhta itu berkata, “Sekarang Aku menjadikan semuanya baru!” Dia juga berkata kepadaku, “Tuliskanlah ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.” 6Dia berkata, “Sudah selesai! Akulah yang pertama dan yang terakhir, Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan. Orang yang dahaga akan Aku berikan air minum dengan percuma dari sumber air yang memberikan hidup. 7Sesiapa yang menang akan menerima hak ini daripada-Ku: Aku akan menjadi Allahnya, dan dia akan menjadi anak-Ku. 8Tetapi pengecut, pengkhianat, orang yang melakukan perbuatan cabul, pembunuh, orang yang lucah, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, penyembah berhala, dan semua pendusta, akan dibuang ke dalam lautan api dan belerang yang bernyala-nyala, iaitu kematian tahap kedua.” 9Satu daripada tujuh malaikat yang mempunyai tujuh buah mangkuk yang penuh dengan tujuh bencana terakhir itu datang kepadaku dan berkata, “Marilah, aku akan menunjukkan Pengantin Perempuan kepadamu, iaitu isteri Anak Domba.” 10Roh Allah menguasai aku, dan malaikat itu membawa aku ke puncak gunung yang sangat tinggi. Dia menunjukkan Yerusalem kepadaku, kota suci itu yang turun dari syurga daripada Allah, 11dengan semarak kemuliaan Allah. Kota itu berkilauan seperti batu permata, seperti batu jasper yang hening seperti kristal. 12Kota itu bertembok tinggi besar, dengan dua belas buah pintu gerbang, dan dijaga oleh dua belas malaikat. Pada pintu-pintu gerbang itu tertulis nama dua belas suku Israel. 13Pada setiap sisi terdapat tiga buah pintu gerbang: tiga di sebelah timur, tiga di sebelah selatan, tiga di sebelah utara, dan tiga di sebelah barat. 14Tembok kota itu dibina di atas dua belas buah batu asas. Pada setiap batu asas tertulis nama dua belas orang rasul Anak Domba itu. 15Malaikat yang berkata-kata kepadaku mempunyai sebatang pengukur daripada emas, untuk mengukur kota itu, pintu-pintu gerbangnya, dan temboknya. 16Kota itu berbentuk empat persegi, panjang dan lebarnya sama. Malaikat itu mengukur kota itu dengan tongkat pengukurnya: panjangnya 2,400 kilometer; lebar dan tingginya sama dengan panjangnya. 17Malaikat itu juga mengukur tembok kota: tingginya enam puluh meter menurut ukuran yang biasa diguna oleh manusia. 18Tembok kota itu dibuat daripada batu jasper, sedangkan kota itu sendiri dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca. 19Batu-batu asas tembok kota itu dihiasi berbagai-bagai batu permata. Batu asas yang pertama batu jasper, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik, yang keempat batu zamrud, 20yang kelima batu oniks, yang keenam batu sardis, yang ketujuh batu kuarza kuning, yang kelapan batu beril, yang kesembilan batu topaz, yang kesepuluh batu kalsedoni, yang kesebelas batu firus, dan yang kedua belas batu kecubung. 21Dua belas buah pintu gerbang itu dua belas mutiara: tiap-tiap pintu gerbang dibuat daripada satu mutiara. Jalan raya kota itu dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca. 22Aku tidak nampak rumah ibadat di kota itu, kerana rumah ibadat itu Tuhan Allah Yang Maha Kuasa dan Anak Domba. 23Kota itu tidak memerlukan matahari ataupun bulan untuk menyinarinya, kerana kemuliaan Allah meneranginya, dan Anak Domba itu lampunya. 24Bangsa-bangsa di dunia akan hidup dalam cahayanya, dan raja-raja dunia pun akan membawa kekayaan mereka ke dalam kota itu. 25Pintu gerbang kota itu akan terbuka sepanjang hari; pintu gerbang kota tidak akan ditutup kerana tidak ada malam di situ. 26Kebesaran dan kekayaan bangsa-bangsa akan dibawa ke dalam kota itu. 27Tetapi segala sesuatu yang najis tidak akan masuk ke kota itu, demikian juga orang yang melakukan perkara-perkara memalukan, dan orang yang berdusta. Hanya orang yang nama mereka tertulis di dalam Kitab Orang Hidup, yang dimiliki oleh Anak Domba akan masuk ke kota itu.

will be added

X\