WAHYU 16

1Kemudian aku mendengar suara lantang dari Rumah Allah berkata kepada tujuh malaikat itu, “Pergilah dan tuanglah isi tujuh mangkuk kemurkaan Allah itu ke atas bumi!” 2Malaikat pertama pergi dan menuang isi mangkuknya ke atas bumi. Lalu timbullah kudis yang teruk dan menyakitkan pada semua orang yang mempunyai tanda binatang itu, serta pada orang yang menyembah patungnya. 3Kemudian malaikat kedua menuang isi mangkuknya ke laut. Lalu air laut berubah menjadi seperti darah orang mati dan matilah semua makhluk yang hidup di dalam laut. 4Kemudian malaikat ketiga menuang isi mangkuknya ke dalam sungai dan mata air, lalu air berubah menjadi darah. 5Aku mendengar malaikat yang berkuasa atas air berkata, “Hukuman yang Engkau jatuhkan itu adil, ya Yang Maha Suci, Allah yang ada dan yang sudah ada! 6Mereka telah menumpahkan darah umat Allah dan darah para nabi. Sekarang Engkau memberi mereka minum darah. Hukuman itu setimpal dengan perbuatan mereka!” 7Kemudian aku mendengar suara dari mazbah berkata, “Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa! Hukuman-Mu itu benar dan adil!” 8Kemudian malaikat keempat menuang isi mangkuknya ke atas matahari, lalu matahari dibenarkan menghanguskan manusia dengan panasnya yang terik. 9Manusia dihanguskan oleh panas yang terik itu dan mereka mengutuki Allah, yang berkuasa atas semua malapetaka tersebut. Tetapi mereka tidak mahu bertaubat daripada dosa dan tidak mahu memuji keagungan Allah. 10Kemudian malaikat kelima menuang isi mangkuknya ke takhta binatang itu. Lalu seluruh kerajaan binatang itu menjadi gelap dan manusia menggigit lidah kerana kesakitan. 11Mereka mengutuki Allah di syurga kerana kesakitan dan kudis mereka. Tetapi mereka tidak bertaubat daripada perbuatan jahat mereka. 12Kemudian malaikat keenam menuang isi mangkuknya ke dalam Sungai Efrat yang besar. Sungai itu menjadi kering sehingga raja-raja dari timur dapat melaluinya. 13Kemudian aku melihat tiga roh jahat yang kelihatan seperti katak. Roh-roh itu keluar dari mulut naga, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu. 14Roh-roh itu roh jahat yang melakukan mukjizat-mukjizat. Ketiga-tiga roh itu pergi kepada semua raja di seluruh dunia, dan mengumpulkan mereka untuk berperang pada hari Allah Yang Maha Kuasa menjatuhkan hukuman. 15“Dengarlah! Aku datang seperti pencuri! Berbahagialah orang yang berjaga-jaga dan siap berpakaian, sehingga mereka tidak berjalan dalam keadaan telanjang dan dipermalukan di hadapan umum!” 16Kemudian roh-roh itu mengumpulkan semua raja itu di suatu tempat yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Harmagedon. 17Kemudian malaikat ketujuh menuang isi mangkuknya ke udara. Lalu terdengarlah dari takhta di Rumah Allah, suara kuat berkata, “Sudah selesai!” 18Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh berderam-derum dan gempa bumi yang dahsyat berlaku. Belum pernah gempa bumi semacam itu berlaku sejak manusia dijadikan. Inilah gempa bumi yang paling dahsyat! 19Kota besar itu terbelah menjadi tiga bahagian, dan kota-kota semua negeri di bumi juga musnah. Allah tidak lupa akan Babel yang besar itu. Dia memaksa Babel minum dari mangkuk-Nya yang berisi wain kemurkaan Allah yang menyala-nyala. 20Semua pulau lenyap, dan semua gunung pun tiada lagi. 21Hujan batu yang dahsyat turun dari langit dan menimpa manusia. Berat setiap batu hampir lima puluh kilogram. Oleh itu manusia mengutuki Allah kerana malapetaka hujan batu yang dahsyat itu.

will be added

X\