FILIPI 2

1Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu dikuatkan. Kerana Kristus mengasihi kamu, kamu dihiburkan. Kamu dipimpin oleh Roh Allah, dan kamu saling mengasihi serta saling berbelas kasihan. 2Aku berharap saudara semua dapat benar-benar menyenangkan hatiku dengan hidup seia sekata, saling mengasihi dengan kasih yang sama dan mempunyai fikiran serta tujuan yang sama. 3Janganlah lakukan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri, atau kerana hendak menyombongkan diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri. 4Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri. 5Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus: 6Sebenarnya Dia ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. 7Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia. 8Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati - iaitu mati di atas salib. 9Itulah sebabnya Allah meninggikan Dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. 10Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. 11Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan. 12Oleh itu, saudara-saudaraku yang tercinta, sebagaimana kamu sentiasa taat kepadaku ketika aku bersama-sama kamu, lebih mustahak lagi kamu taat kepadaku sekarang ini ketika kita berjauhan. Allah sudah menyelamatkan kamu, oleh itu kamu harus terus berusaha untuk menyempurnakan kesejahteraan kamu. Lakukanlah hal itu dengan penuh hormat kepada Allah, 13kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya. 14Lakukanlah segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau bertengkar. 15- 16Dengan demikian kamu menunjukkan ketulusan dan kemurnian sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela, yang hidup di kalangan orang jahat dan berdosa. Ketika kamu menyampaikan berita yang memberikan hidup yang sejati, kamu harus bersinar antara mereka seperti bintang menerangi langit. Jika kamu berbuat demikian, aku mempunyai alasan untuk berbangga dengan kamu pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payahku tidak sia-sia. 17Mungkin aku akan dibunuh dan darahku menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang kamu persembahkan kepada Allah, sebagai tanda bahawa kamu percaya kepada-Nya. Jika demikian, aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua. 18Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku. 19Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan Yesus, aku dapat segera mengutus Timotius kepada kamu, supaya berita tentang kamu boleh menenteramkan hatiku. 20Timotius satu-satunya orang yang sehati denganku, dan dia benar-benar mengambil berat tentang kamu. 21Semua orang lain sibuk mengurus kepentingan sendiri dan bukan kepentingan Yesus Kristus. 22Kamu sendiri tahu bahawa Timotius sudah membuktikan betapa baik keperibadiannya. Aku dan Timotius sama seperti bapa dengan anak, yang sudah bekerja bersama-sama untuk menyebarkan Berita Baik. 23Oleh itu aku bercadang mengutus dia kepada kamu, sebaik sahaja aku mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku. 24Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan, aku sendiri akan dapat mengunjungi kamu tidak lama lagi. 25Aku merasa perlu menyuruh Epafroditus, yang kamu utus untuk menolong aku, kembali kepada kamu. Dia sudah bekerja dan berjuang dengan aku untuk mempertahankan Berita Baik. 26Dia sangat ingin berjumpa dengan kamu semua, dan dia susah hati kerana kamu sudah mendengar bahawa dia sakit. 27Memang benar dia sakit dan hampir meninggal. Tetapi Allah mengasihani dia, dan bukan dia sahaja tetapi aku juga, supaya aku tidak bertambah sedih. 28Itulah sebabnya aku semakin ingin menyuruh dia kembali kepada kamu, supaya kamu bergembira semula apabila berjumpa dengan dia, dan kesedihanku pun akan hilang. 29Oleh itu sambutlah dia dengan penuh kegembiraan sebagai seorang saudara seiman. Hormatilah semua orang yang seperti dia, 30kerana dia sudah mempertaruhkan nyawa dan hampir meninggal untuk kepentingan pekerjaan Kristus. Dia berbuat demikian untuk memberi aku pertolongan yang tidak dapat kamu berikan.

will be added

X\