MATIUS 9

1Yesus menaiki sebuah perahu dan menyeberangi tasik, lalu kembali ke bandar tempat Dia tinggal. 2Di sana beberapa orang membawa seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar kepada Yesus. Ketika Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu sudah diampunkan.” 3Beberapa orang guru Taurat di situ berkata dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!” 4Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu memikirkan perkara sejahat itu? 5Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? 6Aku akan membuktikan kepada kamu bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu dan pulanglah!” 7Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumah. 8Apabila orang di situ nampak kejadian itu, mereka ketakutan dan memuji Allah kerana Allah sudah memberikan kuasa yang begitu besar kepada manusia. 9Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, Dia nampak seorang pemungut cukai bernama Matius duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Matius berdiri lalu mengikut Yesus. 10Sementara Yesus makan di rumah Matius, banyak pemungut cukai dan orang yang dihina oleh masyarakat makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. 11Beberapa orang Farisi nampak hal ini, lalu bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa guru kamu makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” 12Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang yang sakit. 13Carilah makna ayat Alkitab ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan dan bukan korban binatang.’ Itulah sebabnya Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang dihina masyarakat.” 14Setelah itu pengikut-pengikut Yohanes Pembaptis datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa kami dan orang Farisi kerap kali berpuasa sedangkan pengikut-pengikut guru tidak berpuasa sama sekali?” 15Yesus menjawab, “Adakah kamu berharap tetamu di jamuan perkahwinan berdukacita selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak! Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. 16Tidak ada orang menampal pakaian lama dengan seperca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut lalu mengakibatkan koyakan yang lebih besar. 17Demikian juga tidak ada orang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jika dia berbuat demikian, kirbat itu akan pecah dan rosak, lalu wain itu akan terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru juga, supaya kedua-duanya tetap baik.” 18Sementara Yesus berkata-kata dengan para pengikut Yohanes Pembaptis, seorang ketua rumah ibadat datang berlutut di hadapan-Nya dan berkata, “Anak perempuan saya baru sahaja meninggal. Tetapi datanglah dan letakkan tangan padanya supaya dia hidup semula.” 19Yesus bangkit lalu pergi bersama dengan dia. Pengikut-pengikut Yesus pun ikut serta. 20Kemudian seorang wanita yang selama dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya, menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. 21Wanita itu berkata dalam hati, “Asal sahaja aku menyentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.” 22Yesus berpaling dan nampak dia. Yesus berkata kepadanya, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh!” Pada ketika itu juga wanita itu sembuh. 23Apabila Yesus tiba di rumah ketua itu, Dia melihat para pemain muzik perkabungan dan semua orang di situ kecoh. 24Dia berkata, “Keluarlah kamu semua! Anak ini tidak mati; dia hanya tidur.” Mereka mula mentertawakan Yesus. 25Tetapi sebaik sahaja mereka keluar, Yesus masuk ke dalam bilik anak perempuan itu lalu memegang tangannya. Anak itu pun bangkit. 26Berita ini tersebar ke seluruh daerah itu. 27Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, dua orang buta mula mengikut Dia. Mereka berseru, “Hai Anak Daud, kasihanilah kami.” 28Apabila Yesus masuk ke dalam rumah, kedua-dua orang buta itu menghampiri Dia. Yesus bertanya kepada mereka, “Percayakah kamu bahawa Aku boleh menyembuhkan kamu?” “Ya, Tuan!” jawab mereka. 29Lalu Yesus menjamah mata mereka sambil berkata, “Kerana kamu percaya, berlakulah apa yang kamu harapkan!” 30Lalu mereka dapat melihat. Yesus berpesan kepada mereka dengan tegas, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun.” 31Tetapi mereka pergi dan menyebarkan berita tentang Yesus ke seluruh daerah itu. 32Apabila kedua-dua orang itu pergi, beberapa orang membawa seorang bisu kepada Yesus. Orang itu bisu kerana dirasuk roh jahat. 33Sebaik sahaja roh jahat itu diusir oleh Yesus, orang itu mula bercakap. Semua orang hairan melihat hal itu. Mereka berkata, “Belum pernah kami saksikan peristiwa serupa ini di Israel!” 34Tetapi orang Farisi berkata, “Ketua roh jahatlah yang memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.” 35Demikianlah Yesus pergi dari satu bandar ke bandar lain dan dari satu pekan ke pekan lain. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan orang daripada berbagai-bagai penyakit. 36Apabila Dia melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala. 37Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit. 38Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.”

will be added

X\