MATIUS 5

1Apabila Yesus melihat orang ramai itu, Dia naik ke bukit lalu duduk. Pengikut-pengikut-Nya berkumpul di sekeliling-Nya, 2lalu Dia mula mengajar mereka: 3“Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! 4Berbahagialah orang yang bersedih hati, Allah akan menghiburkan mereka! 5Berbahagialah orang yang rendah hati, mereka akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah! 6Berbahagialah orang yang betul-betul mahu melakukan kehendak Allah, Allah akan memuaskan mereka! 7Berbahagialah orang yang mengasihani orang lain, Allah juga akan mengasihani mereka! 8Berbahagialah orang yang murni hati, mereka akan mengenal Allah! 9Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Allah akan menyebut mereka anak-anak-Nya! 10Berbahagialah orang yang menderita penganiayaan kerana melakukan kehendak Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! 11Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan memfitnah kamu kerana kamu pengikut-Ku. 12Nabi-nabi zaman dahulu juga dianiaya seperti itu. Bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Allah sudah menyediakan pahala yang besar di syurga untuk kamu.” 13“Kamu bagaikan garam dunia. Jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam seperti itu tidak berguna lagi, selain dibuang dan dipijak-pijak orang. 14Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan. 15Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah. 16Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.” 17“Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. 18Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku. 19Oleh itu, sesiapa melanggar hukum yang paling tidak penting sekalipun, serta mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi yang paling tidak penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, sesiapa mentaati Taurat dan mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. 20Oleh itu ingatlah bahawa kamu dapat menikmati Pemerintahan Allah, hanya jika kamu lebih setia daripada guru Taurat dan orang Farisi dalam usaha kamu melakukan kehendak Allah.” 21“Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: ‘Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.’ 22Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan diadili; dan sesiapa yang memaki saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama, dan sesiapa yang memanggil saudaranya ‘Jahil’, patut dibuang ke dalam api neraka. 23Oleh itu, apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Allah, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, 24tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Allah. 25Jika seseorang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berdamailah dengan dia selagi ada masa dan sebelum tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, kemudian polis akan memenjarakan kamu. 26Ketahuilah, kamu akan tinggal di penjara sehingga kamu melunaskan semua dendamu.” 27“Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Jangan berzina.’ 28Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. 29Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. 30Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.” 31“Ada juga ajaran yang mengatakan, ‘Sesiapa menceraikan isterinya, hendaklah orang itu memberikan surat cerai kepadanya.’ 32Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana perzinaan, orang itu membuat isterinya berzina jika wanita ini berkahwin lagi. Orang yang mengahwini wanita yang diceraikan itu, berzina juga.” 33“Kamu sudah mendengar bagaimana nenek moyang kita diajar seperti berikut: ‘Jangan mungkir janji. Lakukanlah apa yang sudah kamu janjikan dengan sumpah di hadapan Tuhan.’ 34Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan bersumpah sama sekali. Jangan bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah, 35atau demi bumi, kerana bumi itu alas kaki-Nya; atau demi Yerusalem, kerana kota itu kota Allah, Raja yang besar. 36Jangan bersumpah bahkan demi kepala kamu, kerana kamu tidak berkuasa membuat sehelai rambut menjadi putih ataupun hitam. 37Cukuplah kamu berkata ‘Ya’ atau ‘Tidak’. Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.” 38“Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Mata ganti mata; gigi ganti gigi.’ 39Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan balas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepada kamu. Sebaliknya jika seseorang menampar pipi kananmu untuk menghina kamu, biarkanlah dia menampar pipi kirimu juga. 40Jika seseorang mendakwa kamu di mahkamah untuk menuntut bajumu, berikanlah jubahmu juga. 41Jika seorang askar penjajah memaksa kamu mengangkat barangnya sejauh satu kilometer, angkatlah barangnya sejauh dua kilometer. 42Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah apa yang dimintanya. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripada kamu, pinjamkan apa yang dikehendakinya.” 43“Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: ‘Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.’ 44Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. 45Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Allah menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Allah dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya. 46Patutkah kamu menerima pahala daripada Allah, jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu? Bukankah para pemungut cukai pun berbuat demikian? 47Jika kamu hanya beramah-ramahan dengan kawan-kawan kamu, apakah kelebihannya? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian! 48Kamu harus mengasihi semua orang, seperti Bapa kamu yang di syurga mengasihi semua orang.”

will be added

X\