MATIUS 4

1Kemudian Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun supaya dicubai oleh Iblis. 2Setelah berpuasa selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Yesus lapar. 3Lalu Iblis datang dan berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu-batu ini menjadi roti.” 4Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah.’ ” 5Kemudian Iblis membawa Yesus ke Yerusalem, kota suci itu, lalu meletakkan Dia di puncak Rumah Tuhan. 6Iblis berkata kepada Yesus, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya menjaga Engkau; malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.’ ” 7Yesus menjawab, “Tetapi di dalam Alkitab tertulis juga, ‘Janganlah cubai Tuhan Allahmu.’ ” 8Kemudian Iblis membawa Yesus ke gunung yang sangat tinggi, dan menunjukkan semua kerajaan di dunia ini serta segala kekayaannya kepada-Nya. 9Lalu Iblis berkata kepada Yesus, “Semua ini akan aku berikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.” 10Yesus menjawab, “Pergilah, hai Iblis! Di dalam Alkitab tertulis, ‘Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!’ ” 11Kemudian Iblis meninggalkan Yesus, dan malaikat-malaikat pun datang menolong Dia. 12Ketika Yesus mendengar bahawa Yohanes dipenjarakan, Dia pun pergi ke Galilea. 13Dia tidak menetap di Nasaret, tetapi tinggal di Kapernaum, sebuah kota di tepi Tasik Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. 14Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, 15“Tanah Zebulon dan tanah Naftali, yang menghala ke tasik, di seberang Sungai Yordan, Galilea, negeri orang bukan Yahudi! 16Bangsa yang hidup dalam kegelapan akan nampak cahaya yang gemilang! Bagi mereka yang hidup di negeri yang dibayangi maut, cahaya itu akan bersinar!” 17Sejak itu Yesus mula mengisytiharkan perkhabaran-Nya, “Bertaubatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!” 18Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan: Simon (yang juga disebut Petrus) dengan adiknya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. 19Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” 20Dengan segera adik-beradik itu meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus. 21Yesus meneruskan perjalanan, lalu nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka di dalam perahu bersama-sama bapa mereka, dan sedang mengemaskan jala. Yesus memanggil mereka. 22Dengan segera mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus. 23Yesus menjelajah seluruh negeri Galilea. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan banyak orang sakit yang menderita berbagai-bagai penyakit. 24Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri Siria, sehingga mereka yang menderita berbagai-bagai penyakit dan kesusahan dibawa kepada-Nya. Lalu Yesus menyembuhkan semua orang yang dirasuk roh jahat, yang sakit gila babi, dan yang lumpuh. Mereka semua disembuhkan oleh Yesus. 25Orang yang mengikut Yesus banyak sekali. Mereka dari Galilea, dari Sepuluh Kota, dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari negeri di seberang Yordan.

will be added

X\