MATIUS 24

1Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan menunjukkan bangunan-bangunan Rumah Tuhan itu. 2Yesus berkata kepada mereka, “Lihatlah semuanya ini! Ketahuilah bahawa satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya; semuanya akan dirobohkan.” 3Di bukit Zaitun, semasa Yesus duduk, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Tiada orang lain di situ, maka mereka bertanya, “Guru, beritahulah kami bila segala perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang akan menunjukkan masa kedatangan Guru dan akhir zaman?” 4Yesus menjawab, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. 5Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Aku Penyelamat yang diutus oleh Allah!’ Mereka akan menipu banyak orang. 6Kamu akan mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan, tetapi janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. 7Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana-mana akan berlaku kebuluran dan gempa bumi. 8Semuanya ini hanya permulaan sahaja, sama seperti sakit yang dialami oleh wanita yang akan bersalin. 9Kemudian kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. 10Pada masa itu banyak antara pengikut-Ku yang tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan saling membenci. 11Lalu banyak nabi palsu akan muncul dan menipu banyak orang. 12Kejahatan semakin merebak sehingga kasih kebanyakan orang hampir lenyap. 13Tetapi sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. 14Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.” 15“Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) 16Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. 17Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu. 18Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah. 19Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! 20Berdoalah kepada Allah supaya kamu tidak kena melarikan diri pada musim sejuk atau pada hari Sabat! 21Kesusahan pada masa itu jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi. 22Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat pilihan Allah, Dia memendekkan masa itu. 23Pada masa itu, jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu. 24Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, bahkan umat pilihan Allah pun tertipu. 25Dengarlah! Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu sebelum perkara itu berlaku. 26Jika orang berkata kepada kamu, ‘Lihat, dia di padang gurun!’ - janganlah kamu ke sana. Atau jika mereka berkata, ‘Lihat, dia di dalam bilik!’ - janganlah percaya. 27Sesungguhnya Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur sampai ke barat. 28Di tempat yang ada mayat, di situlah burung pemakan bangkai berkumpul.” 29“Tidak lama selepas kesusahan masa itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. 30Kemudian tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Pada masa itu semua bangsa di bumi akan menangis, ketika melihat Anak Manusia datang di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 31Trompet akan dibunyikan dengan kuat, dan Anak Manusia akan mengutus malaikat-malaikat-Nya ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan Allah dari hujung bumi ke hujung langit.” 32“Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 33Demikian juga apabila kamu melihat semua perkara ini, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan segera akan bermula. 34Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. 35Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.” 36“Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, sama ada malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu. 37Apabila Anak Manusia datang kelak, masa itu seperti zaman Nuh. 38Pada masa banjir belum melanda, orang makan dan minum, lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. 39Mereka tidak tahu akan apa yang sedang berlaku sehingga banjir membinasakan mereka semua. Demikianlah keadaannya apabila Anak Manusia datang. 40Pada waktu itu, dua orang sedang bekerja di ladang: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. 41Dua orang wanita sedang menggiling gandum: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. 42Berjaga-jagalah kerana kamu tidak mengetahui waktunya Tuhan kamu akan datang. 43Ingatlah hal ini! Jika tuan rumah mengetahui waktunya pencuri hendak datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membenarkan pencuri memasuki rumahnya. 44Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.” 45“Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan. 46Alangkah bahagianya hamba itu, jika dia didapati menjalankan tugas pada masa tuannya kembali. 47Percayalah, tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu. 48Tetapi jika hamba itu orang yang jahat, dia akan berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuanku akan kembali.’ 49Lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan orang yang suka mabuk. 50Kemudian pada hari dan masa yang tidak disangkanya, tuan hamba itu kembali. 51Dia akan menghukum hamba itu dengan berat, dan membuang hamba itu ke tempat orang munafik dihukum. Di sana dia akan menangis dan menderita.”

will be added

X\