MATIUS 23

1Lalu Yesus berkata kepada orang ramai dan kepada pengikut-pengikut-Nya, 2“Guru Taurat dan orang Farisi diberikan kuasa untuk mentafsirkan Taurat Musa. 3Oleh itu taatilah dan turutilah segala yang diperintahkan mereka. Tetapi jangan lakukan apa yang dilakukan mereka, kerana perbuatan mereka tidak sesuai dengan ajaran mereka. 4Mereka meletakkan beban yang berat dan susah dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong orang memikul beban itu. 5Mereka melakukan segala sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Alkitab yang diikat pada dahi dan lengan mereka. Perhatikan juga betapa panjangnya rumbai jubah mereka! 6Mereka gemar akan tempat yang terbaik di majlis jamuan, dan akan kerusi istimewa di rumah ibadat. 7Mereka suka dihormati orang di pasar, dan suka dipanggil ‘Guru.’ 8Janganlah minta orang menyebut kamu ‘Guru’, kerana kamu semua bersaudara dan Guru kamu hanya satu. 9Janganlah panggil sesiapa pun di dunia ini ‘Bapa’, kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga. 10Janganlah minta orang menyebut kamu ‘Pemimpin’, kerana Penyelamat yang diutus oleh Allah itu satu-satunya pemimpin kamu. 11Orang yang terbesar antara kamu harus menjadi pelayan kamu. 12Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.” 13“Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang menikmati Pemerintahan Allah. Bukan sahaja kamu tidak mahu menikmati Pemerintahan Allah, bahkan kamu menghalang orang yang berusaha menikmatinya. 14[Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memperdaya balu dan merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang berat!] 15Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menyeberangi lautan dan menjelajah daratan untuk menjadikan seorang pemeluk agama kamu. Tetapi setelah kamu berjaya, kamu menjadikan dia layak menerima hukuman di neraka yang dua kali banyaknya seperti kamu sendiri! 16Alangkah malangnya kamu pemimpin buta! Kamu mengajarkan hal ini, ‘Jika seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, orang itu tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam Rumah Tuhan, dia terikat pada sumpahnya.’ 17Kamu orang bodoh yang buta! Manakah yang lebih mustahak: Emas atau Rumah Tuhan yang menjadikan emas itu suci? 18Kamu juga mengajarkan ini, ‘Jika seseorang bersumpah demi mazbah, orang itu tidak terikat pada sumpahnya, tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah itu, dia terikat pada sumpahnya.’ 19Alangkah butanya kamu! Manakah yang lebih mustahak? Persembahan itu atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci? 20Oleh itu, apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah itu dan demi segala persembahan di atasnya. 21Apabila seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, dia bersumpah demi Rumah itu dan demi Allah yang tinggal di situ. 22Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Allah yang duduk di takhta itu. 23Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada berbagai-bagai jenis rempah seperti selasih, adas manis, dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mentaati ajaran Taurat yang betul-betul mustahak seperti keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan. Semua perkara ini harus kamu lakukan, tanpa melalaikan ajaran yang lain. 24Hai pemimpin buta! Lalat di dalam minuman kamu tapis, tetapi unta kamu telan. 25Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi bahagian dalamnya penuh dengan apa yang kamu peroleh dengan kekerasan dan ketamakan. 26Hai orang Farisi, kamu buta! Bersihkan bahagian dalam cawan itu terlebih dahulu, lalu bahagian luarnya akan bersih juga! 27Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih; baik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk. 28Demikianlah halnya dengan kamu! Pada lahirnya kamu kelihatan melakukan kehendak Allah, tetapi kamu sebenarnya orang jahat dan munafik.” 29“Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi, serta menghiasi kubur orang yang melakukan kehendak Allah. 30Kamu berkata, ‘Seandainya kami hidup pada zaman nenek moyang kami, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang membunuh nabi.’ 31Oleh itu kamu mengakui kamu keturunan orang yang membunuh nabi! 32Jika demikian teruskan dan selesaikan apa yang dimulakan oleh nenek moyang kamu! 33Kamu jahat seperti ular berbisa dan kamu keturunan orang jahat! Bagaimana mungkin kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman di neraka? 34Ketahuilah bahawa Aku akan mengutus nabi, orang bijak, dan guru kepada kamu. Kamu akan membunuh beberapa orang antara mereka dan menyalibkan yang lain. Kamu akan menyesah yang lain di dalam rumah ibadat, dan mengejar mereka dari satu kota ke kota lain. 35Akhirnya, Allah akan menghukum kamu kerana pembunuhan semua orang yang tidak bersalah itu, mulai daripada pembunuhan Habel yang tidak bersalah, sehingga pembunuhan Zakharia anak Berekia, yang kamu bunuh di antara Rumah Tuhan dan mazbah. 36Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana semua pembunuhan itu!” 37“Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam menaungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi pendudukmu tidak mahu! 38Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Allah, sehingga engkau terbiar. 39Ketahuilah bahawa mulai sekarang kamu tidak akan melihat Aku lagi sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.’ ”

will be added

X\