MATIUS 16

1Beberapa orang Farisi dan orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. 2Yesus menjawab, [“Apabila matahari terbenam, kamu berkata, ‘Cuaca baik, kerana langit merah.’ 3Pada pagi hari, kamu berkata, ‘Hari akan hujan, kerana langit merah dan gelap.’ Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat keadaan langit, tetapi kamu tidak dapat memahami hal-hal yang berlaku pada masa ini!] 4Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat, tetapi satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu hanyalah mukjizat Nabi Yunus.” Setelah berkata demikian, Yesus meninggalkan mereka lalu pergi dari situ. 5Apabila pengikut-pengikut Yesus menyeberangi tasik, mereka lupa membawa roti. 6Yesus berkata kepada mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.” 7Mereka mula bercakap sesama sendiri, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.” 8Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Dia berkata, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Kamu kurang percaya kepada-Ku! 9Adakah kamu masih belum mengerti? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? 10Bagaimanakah dengan tujuh ketul roti yang Aku bahagikan untuk empat ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? 11Mengapakah kamu tidak faham bahawa Aku tidak berkata-kata tentang roti? Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki!” 12Barulah pengikut-pengikut Yesus faham bahawa Yesus tidak menyuruh mereka berhati-hati dengan ragi yang digunakan untuk membuat roti, tetapi dengan ajaran orang Farisi dan Saduki. 13Yesus pergi ke daerah dekat kota Kaisarea Filipi. Di situ Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?” 14Mereka menjawab, “Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.” 15“Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?” tanya Yesus. 16Simon Petrus menjawab, “Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup.” 17“Hai Simon anak Yohanes, berbahagialah engkau!” kata Yesus, “Bukannya manusia yang memberitahukan hal itu kepadamu, tetapi Bapa-Ku di syurga yang memberitahumu. 18Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya! 19Aku akan memberikan kunci Dunia Baru Allah kepadamu. Apa yang engkau larang di atas bumi, akan dilarang juga di syurga. Apa yang engkau benarkan di atas bumi, akan dibenarkan juga di syurga.” 20Kemudian Yesus melarang pengikut-pengikut-Nya memberitahu sesiapa pun bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah. 21Sejak itu, Yesus mula berkata dengan terus-terang kepada pengikut-pengikut-Nya, “Aku harus pergi ke Yerusalem dan mengalami banyak penderitaan yang disebabkan oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Aku akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Aku akan dibangkitkan semula!” 22Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia, “Ya Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!” 23Yesus berpaling lalu berkata kepada Petrus, “Pergilah dari sini, hai Iblis! Engkau penghalang jalan-Ku. Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!” 24Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku. 25Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejati. 26Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah seseorang menukar hidup itu dengan sesuatu? Tentu tidak. 27Anak Manusia sudah hampir tiba bersama-sama para malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia akan membalas tiap-tiap orang menurut perbuatannya. 28Ketahuilah! Beberapa orang di sini tidak akan meninggal sebelum melihat Anak Manusia datang sebagai Raja.”

will be added

X\