MATIUS 15

1Kemudian beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Yerusalem datang kepada Yesus dan bertanya, 2“Mengapa pengikutmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Sebelum makan, mereka tidak membasuh tangan menurut adat!” 3Yesus menjawab, “Mengapa kamu tidak menurut perintah Allah, tetapi menurut ajaran kamu sendiri? 4Allah berfirman, ‘Hormatilah ibu bapamu,’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.’ 5Tetapi kamu mengajarkan: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya persembahkan kepada Allah,’ 6maka orang itu tidak perlu menghormati bapanya. Demikianlah kamu meniadakan firman Allah untuk menurut ajaran kamu sendiri. 7Kamu munafik! Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya tatkala dia bernubuat tentang kamu! 8Allah berfirman, ‘Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku. 9Sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Allah!’ ” 10Kemudian Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, “Dengarlah dan fahamilah! 11Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang tidak dapat menajiskan dia. Tetapi apa yang keluar dari mulut, itulah yang menajiskan dia.” 12Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Guru, tahukah Guru bahawa orang Farisi tersinggung oleh kata-kata Guru?” 13Yesus menjawab, “Tiap-tiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. 14Jangan pedulikan orang Farisi. Mereka pemimpin buta, dan apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-dua mereka jatuh ke dalam longkang.” 15Petrus berkata, “Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.” 16Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kamu ini pengikut-Ku, tetapi kamu pun tidak faham seperti mereka. 17Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang, turun ke dalam perut lalu keluar lagi. 18Tetapi apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang. 19Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah. 20Hal-hal itulah yang menajiskan orang, dan bukan makan dengan tidak membasuh tangan menurut adat!” 21Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat bandar Tirus dan Sidon. 22Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Yesus dan berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk.” 23Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, “Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!” 24Yesus berkata kepada wanita itu, “Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.” 25Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Yesus dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, “Tuan, tolonglah saya.” 26Tetapi Yesus menjawab, “Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.” 27“Betul, tuan,” jawab wanita itu, “tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.” 28Oleh itu Yesus berkata kepadanya, “Kamu seorang wanita yang sungguh percaya kepada-Ku! Apa yang kamu kehendaki akan berlaku!” Pada saat itu juga anak wanita itu sembuh. 29Yesus meninggalkan tempat itu lalu berjalan menyusur tepi Tasik Galilea. Kemudian Dia naik ke sebuah bukit lalu duduk. 30Banyak orang datang kepada-Nya dan membawa orang yang tempang, yang buta, yang lumpuh, yang bisu, dan banyak lagi orang sakit. Mereka meletakkan semua orang ini di hadapan Yesus dan Yesus menyembuhkan mereka semua. 31Orang ramai hairan apabila mereka melihat yang bisu bercakap, yang lumpuh berjalan, yang tempang sembuh, dan yang buta melihat. Mereka memuji-muji Allah umat Israel. 32Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku dan sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mungkin mereka akan pengsan di tengah jalan.” 33Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di manakah kami dapat memperoleh makanan yang cukup di tempat terpencil ini untuk orang ramai ini?” 34Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka, “dan beberapa ekor ikan kecil.” 35Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. 36Kemudian Dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan itu. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan makanan itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. 37Semua orang makan sehingga kenyang. Kemudian pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. 38Jumlah orang lelaki yang makan ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak. 39Sesudah itu Yesus menyuruh orang ramai pulang, lalu Dia menaiki sebuah perahu dan pergi ke daerah Magadan.

will be added

X\