MARKUS 9

1Yesus berkata lagi, “Ketahuilah! Ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah dengan penuh kuasa!” 2Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. Ketika mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. 3Pakaian-Nya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi dapat membasuh kain sehingga menjadi seputih itu. 4Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. 5Petrus berkata kepada Yesus, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” 6Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakannya, kerana dia dan kedua-dua orang kawannya sangat takut. 7Lalu awan meliputi mereka dan terdengar suara dari awan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah Dia!” 8Mereka melihat di sekeliling, tetapi tidak nampak sesiapa pun bersama-sama mereka kecuali Yesus. 9Ketika mereka turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu nampak, selagi Anak Manusia belum bangkit daripada kematian.” 10Mereka menurut perintah-Nya, tetapi mula mempersoalkan makna “bangkit daripada kematian”. 11Mereka bertanya kepada Yesus, “Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?” 12Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi, mengapa di dalam Alkitab tertulis bahawa Anak Manusia akan mengalami banyak penderitaan serta dihina orang? 13Aku berkata kepada kamu: Elia sudah datang dan orang memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Hal itu tepat seperti yang tertulis di dalam Alkitab tentang dirinya.” 14Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus. 15Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia. 16Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?” 17Seorang daripada orang ramai itu menjawab, “Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. 18Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” 19Yesus berkata kepada mereka, “Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!” 20Mereka pun membawa dia kepada Yesus. Sebaik sahaja roh jahat itu melihat Yesus, roh jahat itu membuat anak itu kena sawan sehingga anak itu jatuh terguling-guling ke tanah. Mulutnya berbuih. 21Yesus bertanya kepada bapa anak itu, “Sudah berapa lamakah dia begini?” Bapanya menjawab, “Sejak dia masih kanak-kanak lagi! 22Sering kali roh jahat itu cuba membunuhnya dengan membuang dia ke dalam api atau air. Kasihanilah kami dan tolonglah kami, sekiranya guru dapat menolong!” 23“Apa katamu? Jika guru dapat?” jawab Yesus. “Orang yang percaya kepada Allah dapat melakukan segala sesuatu!” 24Bapa itu segera berseru, “Saya percaya, tetapi iman saya kurang. Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi!” 25Yesus melihat bahawa orang ramai mula datang berkerumun. Oleh itu Dia memerintah roh jahat itu dengan berkata, “Roh tuli dan bisu, Aku memerintah kamu keluar daripada anak ini dan jangan sekali-kali masuk lagi!” 26Roh jahat itu berteriak dan membuat anak itu berkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat sehingga semua orang berkata, “Dia sudah mati!” 27Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolong dia bangun. Anak itu pun berdiri. 28Kemudian Yesus masuk ke dalam rumah. Apabila tiada orang lain di situ, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?” 29Yesus menjawab, “Tiada cara lain yang dapat mengusir roh jahat semacam ini, kecuali dengan doa.” 30Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan tempat itu lalu meneruskan perjalanan melalui Galilea. Yesus tidak mahu orang tahu di mana Dia, 31kerana Dia sedang mengajar pengikut-pengikut-Nya. Dia berkata, “Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia, lalu Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian Dia akan bangkit semula!” 32Mereka tidak memahami makna ajaran itu, tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus. 33Mereka tiba di Kapernaum. Setelah mereka masuk ke rumah, Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, “Apakah yang kamu persoalkan di tengah jalan tadi?” 34Mereka tidak menjawab, kerana sewaktu dalam perjalanan, mereka mempersoalkan siapa yang terbesar. 35Yesus duduk, lalu memanggil dua belas orang pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang mahu menjadi pertama, mesti menjadi yang terakhir dan menjadi hamba semua orang.” 36Setelah itu Dia memanggil seorang kanak-kanak, lalu menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus memeluk kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, 37“Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut Aku, menyambut bukan Aku sahaja, tetapi juga Allah yang mengutus Aku.” 38Yohanes berkata kepada Yesus, “Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.” 39Yesus berkata kepada mereka, “Jangan larang dia, kerana tiada seorang pun yang telah melakukan mukjizat dengan nama-Ku, akan segera memburuk-burukkan Aku. 40Sesiapa yang tidak melawan kita, berpihak kepada kita. 41Ingatlah! Sesiapa yang memberi kamu minuman kerana kamu pengikut Kristus, pasti akan menerima pahalanya.” 42“Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia dibuang ke dalam laut. 43Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah tangan daripada kamu dengan kedua-dua belah tangan masuk ke dalam neraka, ke dalam api yang kekal. 44[Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam.] 45Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah kaki daripada kamu dengan kedua-dua belah kaki dibuang ke dalam neraka. 46[Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam.] 47Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu! Lebih baik kamu menikmati Dunia Baru Allah dengan hanya sebelah mata, daripada kamu dengan kedua-dua belah mata dibuang ke dalam neraka. 48Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam. 49Setiap orang akan dimurnikan dengan api, sebagaimana persembahan korban dimurnikan dengan garam. 50Garam itu baik, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Hendaklah kamu menjadi seperti garam serta hidup rukun.”

will be added

X\