MARKUS 6

1Yesus meninggalkan tempat itu, lalu pulang bersama dengan pengikut-pengikut-Nya ke kampung halaman-Nya. 2Pada hari Sabat Dia mula mengajar di rumah ibadat. Orang di situ sangat banyak. Apabila mereka mendengar ajaran Yesus, mereka semua hairan. Mereka berkata, “Dari manakah dia memperoleh semuanya ini? Kebijaksanaan apakah yang ada padanya? Bagaimanakah dia dapat melakukan mukjizat? 3Bukankah dia ini tukang kayu, anak Maria dan juga saudara Yakobus, Yoses, Yudas, dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuannya tinggal di sini?” Oleh itu mereka tidak mahu menerima Dia. 4Yesus berkata kepada mereka, “Seorang nabi dihormati di mana-mana tempat, kecuali di kampung halamannya dan antara sanak saudaranya serta keluarganya sendiri.” 5Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka. 6Yesus sangat hairan kerana mereka tidak percaya kepada-Nya. Kemudian Yesus pergi ke kampung-kampung di sekitar tempat itu dan mengajar orang. 7Dia memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu mengutus mereka berdua-dua, dan memberi mereka kuasa untuk mengusir roh jahat. 8Dia juga memberikan perintah ini kepada mereka, “Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat. Jangan bawa makanan, atau beg sedekah, ataupun wang. 9Tetapi pakailah kasut dan sehelai baju sahaja.” 10Yesus juga berkata, “Di setiap tempat kamu disambut, tinggallah di rumah yang sama sehingga kamu meninggalkan kota itu. 11Tetapi jika kamu tiba di suatu tempat lalu penduduk di situ tidak mahu menerima kamu atau mendengar kata-kata kamu, tinggalkanlah kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka!” 12Demikianlah dua belas orang pengikut Yesus pergi dan menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat daripada dosa. 13Mereka mengusir roh jahat, menyapukan minyak zaitun pada orang sakit, dan menyembuhkan mereka. 14Raja Herodes mendengar segala kejadian itu, kerana nama Yesus sudah terkenal di semua tempat. Ada orang berkata, “Yohanes Pembaptis sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.” 15Tetapi yang lain berkata, “Dia Elia.” Ada pula yang berkata, “Dia itu nabi, seperti salah seorang nabi zaman dahulu.” 16Ketika mendengar hal itu, Raja Herodes bertitah, “Dialah Yohanes Pembaptis! Dengan perintah beta, kepalanya sudah dipancung, tetapi dia hidup semula!” 17Dahulu Raja Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, diikat lalu dimasukkan ke dalam penjara. Raja Herodes berbuat demikian kerana Herodias, yang telah dikahwininya walaupun sebenarnya wanita itu isteri Filipus, saudara Raja Herodes. 18Yohanes selalu menegur Raja Herodes, katanya, “Tuanku bersalah kerana berkahwin dengan isteri saudara tuanku!” 19Itulah sebabnya Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan ingin membunuh dia. Tetapi Herodias tidak dapat melakukan hal itu kerana dihalang oleh Raja Herodes. 20Raja Herodes takut akan Yohanes kerana Raja Herodes tahu bahawa Yohanes seorang yang baik dan diutus oleh Allah. Oleh itu Raja Herodes menjaga keselamatan Yohanes. Raja Herodes suka mendengar kata-kata Yohanes, meskipun kata-katanya membuat Raja Herodes sangat gelisah. 21Akhirnya Herodias mendapat peluang pada hari keputeraan Raja Herodes. Raja Herodes mengadakan jamuan untuk semua pegawai tinggi kerajaan, pegawai tentera, dan tokoh-tokoh masyarakat Galilea. 22Anak perempuan Herodias menari dan menghiburkan hati Raja Herodes serta tetamunya. Oleh itu Raja Herodes bertitah kepada anak gadis itu, “Anakanda ingin apa? Ayahanda akan memberikan apa sahaja yang anakanda ingini!” 23Lalu Raja Herodes berjanji kepada gadis itu dengan sumpah. Raja Herodes bertitah, “Ayahanda berjanji memberikan apa sahaja yang anakanda minta, bahkan separuh daripada kerajaan ayahanda sekalipun!” 24Oleh itu gadis itu keluar dan bertanya kepada ibunya, “Apakah yang sebaiknya saya minta?” Ibunya menjawab, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.” 25Gadis itu segera kembali kepada Raja Herodes dan berkata, “Anakanda minta ayahanda memberi anakanda kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga!” 26Setelah mendengar permintaan itu, Raja Herodes sangat berdukacita. Tetapi Raja Herodes tidak dapat menolak permintaan itu kerana telah berjanji dengan sumpah di hadapan semua tetamunya. 27Lalu Raja Herodes memberikan perintah kepada askarnya untuk mengambil kepala Yohanes Pembaptis. Askar itu meninggalkan istana, pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes. 28Kemudian kepala itu diletakkannya di atas talam, dibawanya ke istana, dan diserahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. 29Apabila pengikut Yohanes mendengar hal itu, mereka mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya. 30Rasul-rasul yang diutus oleh Yesus kembali kepada Yesus, dan melaporkan segala yang sudah dilakukan dan diajarkan oleh mereka. 31Orang yang datang dan pergi di tempat itu sedemikian banyak sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita pergi ke tempat yang sunyi supaya kita dapat sendirian dan kamu pun boleh berehat sekejap.” 32Oleh itu mereka bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi. 33Tetapi orang ramai nampak mereka meninggalkan tempat itu dan mengenal mereka. Lalu orang dari semua kota di kawasan itu berlari melalui jalan darat supaya mendahului Yesus dan pengikut-Nya ke tempat yang ditujui mereka. 34Apabila Yesus turun dari perahu, Dia nampak orang ramai di situ. Hati-Nya penuh belas kasihan kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka. 35Apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, “Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. 36Suruhlah semua orang ini pergi. Biarlah mereka pergi ke pekan dan kampung di sekitar sini untuk membeli makanan.” 37Tetapi Yesus menjawab, “Sebaiknya kamu beri mereka makanan.” Pengikut-pengikut-Nya bertanya, “Adakah Guru mahu kami pergi membeli roti seharga dua ratus keping wang perak supaya kami dapat memberikan makanan kepada mereka?” 38Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.” Setelah mereka pergi melihat, mereka berkata, “Lima ketul roti dan dua ekor ikan.” 39Lalu Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di rumput yang hijau. 40Mereka pun duduk dengan teratur dalam kelompok. Ada yang seratus orang sekelompok dan ada pula yang lima puluh orang. 41Setelah itu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu lalu menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua. 42Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. 43Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. 44Jumlah orang lelaki yang makan roti itu kira-kira lima ribu orang. 45Yesus segera menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi terlebih dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang tasik, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang. 46Setelah Yesus melihat orang ramai itu pergi, Dia pun pergi ke bukit untuk berdoa. 47Apabila hari sudah malam, perahu pengikut-pengikut Yesus sudah ada di tengah-tengah tasik, sedangkan Yesus seorang diri di darat. 48Yesus nampak pengikut-pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Oleh itu, kira-kira antara pukul tiga dan enam pagi, Dia berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Yesus hendak mendahului mereka, 49tetapi mereka nampak Dia berjalan di atas air. “Hantu!” teriak mereka. 50Mereka sangat ketakutan ketika melihat Yesus. Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, “Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!” 51Lalu Dia menaiki perahu mereka dan angin pun teduh. Pengikut-pengikut-Nya sangat hairan, 52kerana masih belum faham akan apa yang telah berlaku dengan lima ketul roti itu; mereka tidak dapat memahaminya. 53Mereka menyeberang tasik lalu tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu. 54Ketika mereka meninggalkan perahu, orang ramai mengenal Yesus dengan serta-merta. 55Lalu mereka berlari ke seluruh kawasan itu. Di mana-mana mereka tahu Yesus ada, mereka membawa semua orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya. 56Ke mana sahaja Yesus pergi, baik ke kampung, ke kota, ataupun ke pekan, penduduk di situ membawa semua orang sakit ke padang tempat orang berkumpul. Lalu mereka memohon supaya setidak-tidaknya Yesus membenarkan semua orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Maka semua orang yang menyentuhnya sembuh.

will be added

X\