MARKUS 2

1Beberapa hari kemudian Yesus kembali ke Kapernaum dan tersebarlah khabar bahawa Yesus di rumah. 2Banyak sekali orang datang berkumpul di situ, sehingga tidak ada tempat. Bahkan di pintu pun penuh sesak dengan orang. Lalu Yesus memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada mereka. 3Sementara Yesus berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh. 4Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Yesus. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. 5Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan.” 6Beberapa orang guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, 7“Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!” 8Pada ketika itu juga Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir demikian? 9Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan’? 10Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” 11Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!” 12Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!” 13Yesus balik semula ke pantai Tasik Galilea. Lalu orang ramai datang kepada-Nya dan Dia mula mengajar mereka. 14Sementara Yesus berjalan di situ, Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Lewi berdiri lalu mengikut Yesus. 15Kemudian Yesus makan di rumah Lewi. Sebilangan besar pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat mengikut Yesus. Banyak antara mereka yang turut makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. 16Beberapa orang guru Taurat daripada golongan Farisi nampak Yesus makan bersama dengan pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat. Oleh itu mereka bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa dia makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” 17Yesus mendengar pertanyaan mereka, lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya. Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi untuk orang yang dihina masyarakat.” 18Pada suatu ketika, para pengikut Yohanes Pembaptis dan orang Farisi sedang berpuasa. Beberapa orang datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikut Yohanes Pembaptis dan pengikut orang Farisi berpuasa, tetapi pengikut guru tidak?” 19Yesus menjawab, “Adakah tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa? Tentu tidak! Selama pengantin lelaki masih bersama-sama mereka, mereka tidak berpuasa. 20Tetapi akan tiba masanya apabila pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. 21Tidak ada orang menggunakan kain yang baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain penampal yang baru itu akan mengecut lalu menyebabkan pakaian lama itu semakin koyak. 22Demikian juga tidak ada orang yang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain itu akan memecahkan kirbat kulit itu dan kedua-duanya terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat yang baru juga!” 23Pada suatu hari Sabat ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, para pengikut-Nya yang berjalan bersama dengan Dia mula memetik bulir gandum. 24Lalu beberapa orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, para pengikutmu telah melanggar Taurat kita dengan melakukan perbuatan itu pada hari Sabat!” 25Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? 26Dia masuk ke Khemah Allah lalu makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah. Hal itu berlaku tatkala Abiatar bertugas sebagai Imam Agung. Menurut Taurat kita, hanya imam yang boleh makan roti itu. Tetapi Daud memakannya, malahan dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya.” 27Yesus berkata lagi, “Hari Sabat ditetapkan untuk kepentingan manusia; manusia tidak dijadikan untuk hari Sabat. 28Oleh itu Anak Manusia juga berkuasa atas hari Sabat.”

will be added

X\