MARKUS 16

1Setelah hari Sabat berlalu, Maria Magdalena, Salome, dan Maria ibu Yakobus pergi membeli ramuan untuk melumuri jenazah Yesus. 2Pada hari Ahad, pagi-pagi sekali, ketika matahari terbit, mereka pergi ke kubur. 3- 4Di tengah jalan mereka bercakap sesama sendiri, “Siapakah yang boleh menolong kita menggulingkan batu penutup pintu kubur?” (Batu itu sangat besar.) Tetapi apabila mereka tiba di situ, mereka melihat bahawa batu itu sudah digulingkan. 5Mereka masuk ke dalam kubur itu dan di sebelah kanan mereka nampak seorang lelaki muda memakai jubah putih duduk di situ. Mereka terkejut. 6Lelaki muda itu berkata, “Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus orang Nasaret yang telah disalibkan. Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan! Lihatlah, inilah tempat mereka meletakkan Dia. 7Sekarang pergilah dan sampaikan khabar ini kepada pengikut-pengikut-Nya termasuk Petrus. Katakan, ‘Dia pergi terlebih dahulu daripada kamu ke Galilea. Di situ kamu akan melihat Dia, sebagaimana yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.’ ” 8Mereka keluar lalu lari dari kubur itu kerana terkejut dan takut. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut. 9[Setelah Yesus bangkit daripada kematian pada pagi-pagi hari Ahad, mula-mula Dia menampakkan diri kepada Maria Magdalena. (Tujuh roh jahat pernah diusir daripada diri Maria.) 10Maria Magdalena pergi menyampaikan khabar itu kepada sahabat-sahabat Yesus, yang sedang berkabung dan menangis. 11Tetapi apabila mereka mendengar Maria berkata bahawa Yesus hidup dan bahawa Maria sudah nampak Yesus, mereka tidak percaya. 12Sesudah itu Yesus menampakkan diri kepada dua orang pengikut-Nya dengan cara lain. Hal itu berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung. 13Kemudian pengikut-pengikut ini balik dan memberitahukan hal itu kepada pengikut yang lain, tetapi mereka tidak percaya. 14Akhirnya, Yesus menampakkan diri kepada sebelas orang pengikut-Nya ketika mereka sedang makan. Dia menegur mereka kerana mereka kurang beriman dan terlalu degil, sehingga tidak percaya kepada kesaksian orang yang sudah melihat sendiri bahawa Dia hidup. 15Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia. 16Orang yang percaya dan dibaptis akan selamat, tetapi orang yang tidak percaya akan dihukum. 17Kepada mereka yang percaya akan diberikan tanda-tanda ini: Mereka akan mengusir roh jahat demi nama-Ku; mereka akan berkata-kata dalam bahasa yang tidak diketahui. 18Jika mereka memegang ular atau meminum racun, mereka tidak akan mendapat celaka. Jika mereka meletakkan tangan pada orang sakit, orang sakit akan sembuh.” 19Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia diangkat ke syurga lalu duduk di sebelah kanan Allah. 20Pengikut-pengikut Yesus pergi mengkhabarkan Berita daripada Allah di serata tempat. Tuhan bekerja bersama-sama mereka dan melalui tanda-tanda itu, Dia membuktikan bahawa perkhabaran mereka benar.] [(9) Wanita-wanita itu pergi kepada Petrus dan sahabat-sahabatnya lalu memberikan laporan singkat tentang segala sesuatu yang telah diberitahukan oleh lelaki muda itu kepada mereka. (10) Sesudah itu Yesus dengan perantaraan pengikut-pengikut-Nya memberitakan perkhabaran yang suci dan kekal tentang penyelamatan yang abadi, dari timur ke barat.]

will be added

X\