MARKUS 10

1Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu. Dia pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Orang ramai berkumpul lagi di sekeliling Yesus, dan seperti biasa Yesus mula mengajar mereka. 2Beberapa orang Farisi datang hendak memerangkap Dia. Mereka bertanya, “Menurut Taurat kita, bolehkah orang menceraikan isteri?” 3Yesus menjawab dengan bertanya, “Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?” 4Mereka menjawab, “Musa membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai.” 5Yesus berkata kepada mereka, “Musa menulis perintah itu kerana kamu terlalu sukar diajar. 6Tetapi pada mula-mulanya, pada waktu Allah menciptakan manusia, ada dikatakan bahawa ‘Allah menjadikan mereka lelaki dan perempuan. 7Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya, 8dan kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang tetapi satu. 9Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia!” 10Setelah mereka pulang ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus tentang hal itu. 11Yesus berkata kepada mereka, “Seorang lelaki yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina terhadap isterinya yang pertama. 12Demikian juga seorang wanita yang menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, pun berzina.” 13Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka. 14Ketika Yesus nampak hal ini, Dia marah lalu berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah. 15Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak, tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.” 16Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka. 17Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” 18“Mengapa kamu mengatakan Aku baik?” tanya Yesus. “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah. 19Kamu tahu akan hukum Allah: ‘Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; jangan menipu; hormatilah ibu bapamu.’ ” 20“Guru,” kata orang itu, “sejak muda saya telah menurut semua hukum itu.” 21Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, “Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.” 22Apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, mukanya muram. Dia terus meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya. 23Yesus memandang pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Alangkah susahnya bagi orang kaya menikmati Pemerintahan Allah!” 24Pengikut-pengikut-Nya terperanjat mendengar kata-kata Yesus itu. Tetapi Yesus berkata pula, “Hai anak-anak-Ku, memang susah untuk menikmati Pemerintahan Allah! 25Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.” 26Pengikut-pengikut Yesus hairan mendengar kata-kata itu, lalu mereka bertanya sesama sendiri, “Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?” 27Yesus memandang mereka lalu menjawab, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.” 28Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.” 29“Betul!” kata Yesus, “Percayalah kepada-Ku: Sesiapa yang meninggalkan rumah tangganya, atau saudara lelakinya atau saudara perempuannya, atau ibunya, atau bapanya, atau anak-anaknya, atau ladangnya kerana Aku dan kerana Berita Baik itu, 30akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini. Orang itu akan menerima seratus kali ganda rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak, ladang, dan juga penganiayaan. Pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal. 31Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.” 32Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Yesus berjalan di hadapan, sementara pengikut-pengikut-Nya mengikuti-Nya dengan cemas. Orang ramai yang mengikut mereka pun takut. Sekali lagi Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya ke tepi, lalu berkata kepada mereka tentang apa yang akan berlaku terhadap diri-Nya. 33“Dengarlah,” kata-Nya, “Kita sekarang sedang menuju ke Yerusalem. Di situ Anak Manusia akan diserahkan kepada para ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi. 34Mereka akan mengolok-olok Dia, meludahi Dia, menyesah Dia, dan membunuh Dia. Tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.” 35Lalu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus datang kepada Yesus. “Guru,” kata mereka, “ada satu perkara yang kami hendak Guru lakukan untuk kami.” 36“Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?” tanya Yesus. 37Mereka menjawab, “Apabila Guru bertakhta dalam kemuliaan, benarkanlah kami duduk di sebelah kanan dan kiri Guru.” 38Yesus berkata kepada mereka, “Kamu tidak mengetahui apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum? Sanggupkah kamu mengalami baptisan penderitaan yang akan Aku alami?” 39“Sanggup,” jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum dan kamu akan mengalami baptisan penderitaan seperti yang akan Aku alami. 40Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Allah yang menentukan siapa orangnya yang akan duduk di tempat itu.” 41Ketika sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes. 42Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. 43Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi besar, dia harus melayani orang lain. 44Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua. 45Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.” 46Mereka tiba di Yerikho. Ketika Yesus meninggalkan kota itu dengan pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai, ada seorang buta yang duduk minta sedekah di pinggir jalan. Namanya Bartimeus anak Timeus. 47Apabila orang buta itu mendengar bahawa yang sedang lalu di situ adalah Yesus orang Nasaret, dia mula berseru, “Yesus, Anak Daud! Kasihanilah hamba!” 48Orang ramai memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi lebih keras lagi dia berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya!” 49Yesus berhenti lalu berkata, “Panggillah dia.” Mereka memanggil orang buta itu. “Jangan kecil hati!” kata mereka. “Bangunlah, Yesus memanggil kamu.” 50Orang buta itu pun melempar jubahnya, lalu melompat dan pergi kepada Yesus. 51Yesus bertanya kepadanya, “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?” Orang buta itu menjawab, “Guru, saya ingin melihat.” 52“Pergilah,” kata Yesus, “kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.” Pada saat itu juga orang itu dapat melihat, lalu dia mengikut Yesus di jalan.

will be added

X\