MALEAKHI 4

1TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Harinya akan tiba apabila semua orang sombong dan jahat dibakar seperti jerami. Pada hari itu mereka akan dibakar habis, sehingga tiada lagi yang tertinggal. 2Tetapi bagi kamu yang taat kepada-Ku, kuasa-Ku yang menyelamatkan kamu akan terbit seperti matahari, dan kuasa-Ku itu akan memberikan kesembuhan seperti sinar matahari. Kamu akan bebas dan gembira seperti anak lembu yang dikeluarkan dari kandang. 3Pada hari itu Aku akan bertindak, lalu kamu akan mengalahkan orang jahat. Mereka akan menjadi seperti debu yang kamu pijak. 4Ingatlah ajaran hamba-Ku Musa. Ingatlah hukum dan perintah yang Kuberikan kepadanya di Gunung Sinai untuk ditaati semua orang Israel. 5Tetapi sebelum hari yang hebat dan dahsyat yang Aku tentukan itu tiba, Aku akan mengutus Nabi Elia kepada kamu. 6Dia akan menyebabkan bapa dan anak bersatu hati, supaya Aku tidak datang untuk membinasakan negeri kamu.”

will be added

X\