LUKAS 3

1Pada tahun kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, Pontius Pilatus ialah gabenor negeri Yudea dan Herodes memerintah negeri Galilea. Filipus, saudara Herodes, menguasai kawasan Iturea dan Trakhonitis; dan Lisanias memerintah di Abilene. 2Pada masa itu, Hanas dan Kayafas menjabat kedudukan Imam Agung. Itulah masanya Allah berfirman kepada Yohanes anak Zakharia di padang gurun. 3Lalu Yohanes menjelajah seluruh kawasan Sungai Yordan dan mengisytiharkan berita daripada Allah. Yohanes berseru, “Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu.” 4Seperti yang tertulis di dalam kitab Nabi Yesaya, “Seorang berseru di padang gurun, ‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan bagi-Nya! 5Tiap-tiap lembah hendaklah ditimbus, tiap-tiap gunung dan bukit diratakan. Jalan yang berliku-liku hendaklah diluruskan, dan jalan yang lekak-lekuk diratakan. 6Lalu setiap orang akan melihat Allah menyelamatkan manusia!’ ” 7Banyak orang datang kepada Yohanes supaya dibaptis olehnya. “Kamu orang jahat!” kata Yohanes kepada mereka. “Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang? 8Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa! Janganlah mula berkata sesama sendiri, ‘Abraham nenek moyang kami.’ Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham! 9Lihatlah, kapak sudah tersedia untuk menebang pokok sehingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang lalu dibuang ke dalam api.” 10Orang ramai bertanya kepada Yohanes, “Apakah yang harus kami lakukan?” 11Yohanes menjawab, “Sesiapa yang mempunyai dua helai baju, harus memberikan sehelai kepada orang yang tidak mempunyai baju; dan sesiapa yang mempunyai makanan, harus berkongsi makanan dengan yang berkekurangan.” 12Beberapa orang pemungut cukai datang dan minta dibaptis. Mereka bertanya kepada Yohanes, “Guru, apakah yang harus kami lakukan?” 13Yohanes berkata, “Janganlah minta lebih daripada apa yang telah ditetapkan.” 14Askar-askar juga bertanya kepadanya, “Bagaimana dengan kami? Apakah yang harus kami lakukan?” Yohanes menjawab, “Janganlah peras duit daripada sesiapa pun, dan jangan rampas wang dengan mengajukan tuduhan palsu. Berpuas hatilah dengan gaji kamu!” 15Harapan orang ramai mula timbul. Mereka tertanya-tanya sama ada Yohanes itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. 16Yohanes berkata kepada mereka, “Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia yang lebih besar daripadaku akan datang. Aku pun tidak layak mengurai tali kasut-Nya. Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api. 17Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam!” 18Demikianlah Yohanes menasihati orang dengan berbagai-bagai cara, pada waktu dia mengisytiharkan Berita Baik. 19Tetapi Yohanes menegur Gabenor Herodes tentang perkahwinannya dengan Herodias, isteri saudaranya, dan tentang semua kejahatan lain yang telah dilakukannya. 20Kemudian Herodes melakukan perbuatan yang lebih jahat lagi; dia memenjarakan Yohanes. 21Setelah semua orang itu dibaptis, Yesus juga dibaptis. Ketika Dia berdoa, langit terbuka, 22dan Roh Allah berwujud burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar suara dari syurga mengatakan, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.” 23Ketika Yesus memulakan pelayanan-Nya, Dia berumur kira-kira tiga puluh tahun. Menurut pendapat orang, Dia anak Yusuf anak Eli, 24anak Matat, anak Lewi, anak Malkhi, anak Yanai, anak Yusuf, 25anak Matica, anak Amos, anak Nahum, anak Hesli, anak Nagai, 26anak Maat, anak Matica, anak Simei, anak Yosekh, anak Yoda, 27anak Yohanan, anak Resa, anak Zerubabel, anak Sealtiel, anak Neri, 28anak Malkhi, anak Adi, anak Kosam, anak Elmadam, anak Er, 29anak Yosua, anak Eliezer, anak Yorim, anak Matat, anak Lewi, 30anak Simeon, anak Yehuda, anak Yusuf, anak Yonam, anak Eliakim, 31anak Melea, anak Mina, anak Matata, anak Natan, anak Daud, 32anak Isai, anak Obed, anak Boas, anak Salmon, anak Nahason, 33anak Aminadab, anak Admin, anak Arni, anak Hezron, anak Peres, anak Yehuda, 34anak Yakub, anak Ishak, anak Abraham, anak Terah, anak Nahor, 35anak Serug, anak Rehu, anak Peleg, anak Eber, anak Selah, 36anak Kenan, anak Arpakhsad, anak Sem, anak Nuh, anak Lamekh, 37anak Metuselah, anak Henokh, anak Yared, anak Mahalaleel, anak Kenan, 38anak Enos, anak Set, anak Adam, anak Allah.

will be added

X\