LUKAS 21

1Yesus melihat di sekeliling-Nya dan nampak orang kaya memasukkan wang ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan. 2Dia juga melihat seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping mata wang tembaga. 3Yesus berkata, “Ketahuilah, balu ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. 4Orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka. Tetapi balu ini, walaupun sangat miskin, mendermakan semua nafkahnya.” 5Beberapa orang sedang bercakap tentang Rumah Tuhan. Mereka berkata betapa indahnya Rumah Tuhan yang dihias dengan batu yang indah-indah, serta semua barang yang dipersembahkan kepada Allah. Lalu Yesus berkata kepada mereka, 6“Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya!” 7Mereka bertanya kepada Yesus, “Guru, bilakah perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?” 8Yesus berkata, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’ dan ‘Masanya sudah tiba!’ Jangan ikut mereka. 9Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba.” 10Yesus berkata lagi, “Bangsa yang satu akan berperang melawan bangsa yang lain dan kerajaan yang satu akan menyerang kerajaan yang lain. 11Di pelbagai tempat akan berlaku gempa bumi yang dahsyat, kebuluran, dan wabak. Akan berlaku juga pelbagai perkara yang menakutkan dan luar biasa di langit. 12Tetapi sebelum segala perkara ini berlaku, kamu akan ditangkap dan dianiaya. Kamu akan dibawa ke rumah ibadat untuk diadili, lalu dipenjarakan. Kamu akan dihadapkan kepada raja dan penguasa kerana kamu pengikut-Ku. 13Inilah peluang kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik. 14Bertekadlah bahawa kamu tidak akan khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri. 15Aku akan memberikan kata-kata dan kebijaksanaan kepada kamu, sehingga tiada seorang musuh pun dapat melawan atau menafikan kata-kata kamu. 16Kamu akan dikhianati oleh ibu bapa, saudara, sanak keluarga, dan sahabat kamu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu. 17Semua orang akan membenci kamu kerana Aku, 18tetapi sehelai rambut pun di kepala kamu tidak akan hilang. 19Hendaklah kamu teguh hati! Dengan jalan ini kamu akan mendapat hidup sejati.” 20“Apabila kamu nampak Yerusalem dikepung tentera, kamu akan tahu bahawa kota itu segera akan dimusnahkan. 21Pada waktu itu orang di Yudea mesti lari ke pergunungan; orang yang di dalam kota mesti meninggalkan kota, dan orang yang di luar kota jangan masuk ke dalam kota. 22Itulah yang harus kamu lakukan kerana masa itu ‘Hari Hukuman’, apabila semua yang telah tertulis di dalam Alkitab berlaku. 23Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Negeri ini akan mengalami kesusahan yang besar dan Tuhan akan menghukum bangsa ini. 24Ada orang yang akan dibunuh dengan pedang, ada lagi orang yang akan dibawa sebagai tawanan ke negeri orang, dan bangsa yang tidak mengenal Allah akan menginjak-injak Yerusalem sehingga habis masa yang ditetapkan oleh Tuhan untuk mereka.” 25“Kelak tanda-tanda yang luar biasa akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang. Semua negeri di seluruh bumi akan putus asa dan takut menghadapi deru dan gelora laut. 26Orang akan pengsan kerana ketakutan sementara menantikan apa yang akan berlaku di seluruh bumi, kerana kuasa di angkasa lepas ditarik daripada peredarannya. 27Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 28Apabila perkara-perkara itu mula berlaku, bangkitlah dan dongaklah ke langit, kerana sekejap lagi kamu akan diselamatkan.” 29Lalu Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Lihatlah pokok ara dan semua pokok yang lain. 30Apabila kamu nampak pokok mula berdaun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 31Demikian juga apabila kamu nampak perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa Allah akan segera memerintah. 32Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. 33Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.” 34“Berjaga-jagalah! Janganlah kamu asyik berpesta dan minum minuman keras atau khuatir akan kehidupan kamu, sehingga kamu tidak bersedia apabila Hari itu datang dengan tiba-tiba. 35Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua orang di bumi. 36Berjaga-jagalah dan berdoalah sentiasa supaya kamu mempunyai kekuatan untuk mengatasi semua perkara yang akan berlaku, lalu kamu dapat menghadap Anak Manusia.” 37Setiap hari Yesus mengajar di Rumah Tuhan dan pada petang hari Dia pergi bermalam di Bukit Zaitun. 38Tiap-tiap pagi semua orang datang ke Rumah Tuhan untuk mendengar ajaran Yesus.

will be added

X\