YOHANES 9

1Semasa Yesus berjalan, Dia melihat seorang yang buta sejak lahir. 2Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?” 3Yesus menjawab, “Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Allah boleh dinyatakan dalam hidupnya. 4Selama hari masih terang, kita harus melakukan tugas yang diberikan oleh Dia yang mengutus Aku. Malam akan tiba dan tidak seorang pun dapat melakukan apa-apa. 5Selama Aku di dunia ini, Akulah cahaya bagi dunia.” 6Setelah Yesus berkata demikian, Dia meludah ke tanah dan meliat tanah dengan ludah-Nya. Kemudian Dia menyapukan tanah itu pada mata orang itu. 7Lalu Yesus berkata kepadanya, “Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.” (Dalam bahasa Ibrani kata “Siloam” bererti “Diutus”.) Oleh itu, orang itu pergi membasuh muka dan ketika dia kembali, dia dapat melihat. 8Jiran-jirannya dan semua orang yang selalu melihat dia meminta sedekah, bertanya, “Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?” 9Beberapa orang berkata, “Memang dia,” tetapi yang lain berkata, “Bukan, orang ini hanya mirip dengan dia.” Tetapi orang itu sendiri berkata, “Sayalah dia.” 10Mereka bertanya kepadanya, “Bagaimanakah kamu dapat melihat sekarang?” 11Dia menjawab, “Orang yang bernama Yesus meliat sedikit tanah, lalu menyapukannya pada mata saya dan berkata, ‘Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.’ Saya pun pergi, lalu sebaik sahaja saya membasuh muka, saya dapat melihat.” 12Mereka bertanya, “Di manakah orang itu?” Dia menjawab, “Saya tidak tahu.” 13- 14Yesus meliat tanah dan mencelikkan mata seorang buta pada hari Sabat. Oleh itu, orang yang tadinya buta dibawa kepada beberapa orang Farisi. 15Kemudian mereka bertanya kepadanya bagaimana dia dapat melihat. Dia berkata, “Orang itu menyapukan tanah liat pada mata saya, lalu saya membasuh muka dan saya dapat melihat.” 16Beberapa orang Farisi itu berkata, “Orang yang melakukan hal ini tidak mungkin berasal daripada Allah, kerana Dia tidak mentaati peraturan hari Sabat.” Yang lain berkata, “Bagaimanakah seorang berdosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?” Lalu timbullah pertentangan pendapat di kalangan mereka. 17Oleh itu orang Farisi di situ bertanya lagi kepadanya, “Kamu berkata dia mencelikkan matamu. Baiklah, apakah pendapatmu tentang dia?” “Dia nabi,” jawabnya. 18Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya, 19lalu bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?” 20Ibu bapanya menjawab, “Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir. 21Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.” 22Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat. 23Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.” 24Sekali lagi mereka memanggil orang yang dahulunya buta dan berkata kepadanya, “Mengakulah di hadapan Allah! Kami tahu bahawa orang yang menyembuhkan kamu itu orang berdosa.” 25Orang itu menjawab, “Sama ada dia berdosa atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat.” 26Mereka bertanya lagi, “Apa yang dilakukannya kepadamu? Bagaimanakah dia mencelikkan matamu?” 27Orang itu menjawab, “Hal itu sudah saya jelaskan kepada tuan-tuan, tetapi tuan-tuan tidak mahu mendengarnya. Mengapakah tuan-tuan mahu mendengarnya lagi? Adakah tuan-tuan pun mahu menjadi pengikutnya?” 28Mereka mencaci dia dan berkata, “Kamu pengikut dia; kami pengikut Musa. 29Kami tahu bahawa Allah berfirman kepada Musa, tetapi tentang orang itu kami tidak tahu dari mana asalnya.” 30Orang itu berkata, “Sungguh menghairankan! Tuan-tuan tidak mengetahui asalnya, namun dia sudah mencelikkan mata saya! 31Kita tahu bahawa Allah tidak mendengarkan permintaan orang berdosa. Allah hanya mendengarkan permintaan orang yang menghormati Dia dan melakukan kehendak-Nya. 32Sejak permulaan dunia, orang belum pernah mendengar berita tentang seorang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir. 33Jika orang ini tidak berasal daripada Allah, dia tidak akan dapat melakukan apa-apa.” 34Mereka berkata kepadanya, “Kamu orang berdosa sejak kamu dilahirkan. Adakah kamu cuba mengajar kami?” Lalu mereka melarang dia masuk ke rumah ibadat. 35Yesus mendengar bahawa mereka telah melarang orang itu masuk ke rumah ibadat. Apabila Yesus menjumpai dia, Yesus berkata kepadanya, “Adakah kamu percaya kepada Anak Manusia?” 36Orang itu menjawab, “Tuan, siapakah Dia? Tolong beritahu supaya saya boleh percaya kepada-Nya.” 37Yesus berkata kepadanya, “Kamu sudah melihat Dia. Dialah yang bercakap dengan kamu sekarang ini.” 38Orang itu menjawab, “Ya Tuhan, saya percaya.” Lalu dia sujud di hadapan Yesus. 39Yesus berkata, “Aku datang ke dunia ini untuk menghakimi orang supaya orang yang buta dapat melihat, tetapi orang yang dapat melihat menjadi buta.” 40Beberapa orang Farisi di situ mendengar kata-kata Yesus, lalu bertanya kepada-Nya, “Maksudmu kami ini buta juga?” 41Yesus menjawab, “Jika kamu buta, kamu tidak berdosa. Tetapi kerana kamu berkata bahawa kamu melihat, maka kamu masih berdosa.”

will be added

X\