YAKOBUS 5

1Dengarlah nasihatku, hai orang kaya! Hendaklah kamu menangis dan meratap, kerana kesengsaraan akan menimpa kamu! 2Kekayaan kamu akan lenyap dan pakaian kamu akan dimakan gegat. 3Emas dan perak kamu akan berkarat; karatnya akan menjadi saksi untuk menuduh kamu dan akan membakar habis badan kamu seperti api. Kamu telah menimbun harta di dunia ini yang segera akan berakhir. 4Kamu tidak membayar upah orang yang bekerja di ladang kamu. Dengarkanlah sungutan mereka! Orang yang menuai hasil ladang kamu berseru minta tolong dan seruan mereka sudah sampai ke telinga Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa. 5Hidup kamu di dunia ini penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Kamu seolah-olah menggemukkan diri untuk hari penyembelihan. 6Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawan kamu. 7Oleh itu, saudara-saudaraku, bersabarlah sehingga Tuhan datang. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang berharga. Dengan sabar dia menunggu hujan musim luruh dan hujan musim bunga. 8Kamu juga mesti bersabar. Teguhkanlah hati kamu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah dekat. 9Saudara-saudaraku, janganlah saling bersungut-sungut, supaya kamu tidak dihakimi oleh Allah. Hakim sudah dekat dan segera datang. 10Saudara-saudaraku, ingatlah akan nabi-nabi yang bersabda demi nama Tuhan. Contohilah kesabaran dan ketabahan mereka pada masa menanggung penderitaan. 11Kami menyebut mereka berbahagia kerana mereka tabah menanggung penderitaan. Kamu telah mendengar kisah tentang kesabaran Ayub, dan kamu tahu bagaimana Tuhan memberkati dia pada akhirnya. Hal itu berlaku kerana Tuhan berbelas kasihan dan baik hati. 12Saudara-saudaraku, hal ini penting sekali: janganlah bersumpah apabila membuat janji. Janganlah bersumpah demi langit atau bumi, ataupun apa sahaja. Katakanlah “Ya” apabila maksudmu ya, dan “Tidak” apabila maksudmu tidak. Dengan demikian kamu tidak akan dihukum oleh Allah. 13Adakah sesiapa antara kamu sedang mengalami kesusahan? Hendaklah dia berdoa. Adakah sesiapa yang bersukacita? Hendaklah dia menyanyikan lagu pujian kepada Allah. 14Adakah sesiapa yang sakit? Hendaklah dia memanggil pemimpin-pemimpin jemaah, supaya mereka berdoa baginya dan menyapukan minyak zaitun padanya demi nama Tuhan. 15Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan. 16Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan dan berdoa bagi satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang melakukan kehendak Allah mempunyai kuasa yang besar. 17Elia pun orang biasa seperti kita. Dia berdoa dengan tekun supaya hujan tidak turun, dan hujan pun tidak turun selama tiga tahun setengah. 18Kemudian dia berdoa lagi, lalu langit mencurahkan hujan dan tanah mengeluarkan hasilnya. 19Saudara-saudaraku, jika seorang antara kamu sesat, lalu yang lain memimpin dia kembali kepada Allah, 20ingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang berdosa berbalik dari jalan yang salah, orang itu menyelamatkan jiwa orang berdosa itu daripada kematian dan menyebabkan banyak dosa diampunkan.

will be added

X\