IBRANI 1

1Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara. 2Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Melalui Anak-Nya inilah Allah menciptakan alam semesta. Allah sudah menetapkan bahawa Anak-Nya inilah yang berhak memiliki segala sesuatu pada akhirnya. 3Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa. Setelah Dia memungkinkan manusia dibebaskan daripada dosa, Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi. 4Anak itu mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada malaikat, dan nama yang diberikan oleh Allah kepada-Nya pun jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat. 5Tidak pernah Allah berfirman kepada mana-mana malaikat-Nya, “Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.” Tidak pernah Allah berfirman tentang malaikat yang mana pun begini, “Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Anak-Ku.” 6Tetapi pada masa Allah mengutus Anak-Nya yang sulung ke dunia ini, Dia berfirman, “Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu.” 7Tentang malaikat-malaikat, Allah berfirman demikian, “Allah menjadikan malaikat-malaikat-Nya angin, dan hamba-hamba-Nya nyala api.” 8Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman, “Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya! Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan. 9Engkau suka akan keadilan, dan benci akan kecurangan; itulah sebabnya Allah, Allah-Mu, memilih Engkau dan memberi Engkau kehormatan yang mendatangkan kegembiraan yang jauh lebih besar daripada yang diberikan-Nya kepada sahabat-sahabat-Mu.” 10Allah juga berfirman, “Engkau, ya Tuhan, pada mulanya menjadikan bumi, dan dengan tangan-Mu sendiri Engkau menjadikan langit. 11Semua itu akan lenyap, dan menjadi usang seperti pakaian; tetapi Engkau tidak akan berubah. 12Alam semesta Engkau lipat seperti jubah, dan akan Engkau ganti seperti pakaian. Tetapi Engkau tidak akan berubah, dan hidup-Mu tidak akan berakhir.” 13Allah tidak pernah berfirman kepada malaikat-Nya yang mana pun begini, “Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga musuh-musuh-Mu Aku jadikan alas kaki-Mu.” 14Jika demikian, apakah sebenarnya malaikat-malaikat itu? Mereka roh yang berbakti kepada Allah, dan yang disuruh oleh-Nya untuk menolong orang yang akan menerima penyelamatan.

will be added

X\