GALATIA 4

1Tetapi perlu aku lanjutkan: Selama seorang ahli waris masih kanak-kanak, dia tidak berbeza dengan seorang abdi, meskipun sebenarnya anak itu memiliki segala-galanya. 2Semasa ahli waris itu masih di bawah umur, beberapa orang wali akan menjaga dia dan mewakili dia dalam segala urusannya, sehingga dia mencapai umur yang sudah ditetapkan oleh bapanya. 3Demikian juga dengan kita: selama kita masih belum dewasa, kita pun diperhamba oleh roh-roh yang menguasai dunia ini. 4Tetapi pada saat yang tepat, Allah mengutus Anak-Nya sendiri ke dunia. Anak-Nya itu dilahirkan oleh seorang wanita dan hidup di bawah Taurat. 5Dia diutus untuk membebaskan orang yang hidup di bawah Taurat, supaya kita boleh menjadi anak-anak Allah. 6Kerana kamu anak-anak Allah, Allah menyuruh Roh Anak-Nya masuk ke dalam hati kita. Roh itulah yang menyebabkan kita berseru, “Bapa, ya Bapaku.” 7Dengan demikian kamu bukan lagi abdi, tetapi anak. Kerana kamu anak-Nya, Allah akan mengurniai kamu segala yang telah disediakan untuk anak-anak-Nya. 8Dahulu kamu tidak mengenal Allah. Oleh itu kamu menjadi abdi kuasa-kuasa yang kamu anggap sebagai tuhan, tetapi sebenarnya sama sekali bukan Tuhan. 9Tetapi sekarang kamu mengenal Allah, atau, lebih tepat lagi, Allah mengenal kamu. Mengapa kamu mahu kembali kepada roh-roh yang menguasai dunia ini? Roh-roh itu lemah dan tidak berguna. Mengapa kamu mahu diperhamba oleh roh-roh itu lagi? 10Kamu merayakan hari, bulan, musim, dan tahun tertentu. 11Aku khuatir akan kamu. Mungkinkah jerih payahku bagi kamu sia-sia sahaja? 12Saudara-saudaraku, aku memohon supaya kamu menjadi seperti aku, kerana aku pun sudah menjadi seperti kamu. Kamu tidak pernah bersalah terhadap aku. 13Masih ingatkah kamu, apa sebabnya aku mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu pada kali pertama? Sebabnya adalah kerana aku jatuh sakit. 14Tetapi pada masa itu kamu tidak menghina ataupun menolak aku, meskipun penyakitku merupakan ujian berat bagi kamu. Sebaliknya, kamu menyambut aku seperti kamu menyambut malaikat Allah. Kamu menyambut aku seperti kamu menyambut Kristus Yesus. 15Pada waktu itu kamu sangat bersukacita dan aku tahu bahawa kamu rela berbuat apa sahaja, bahkan mencungkil mata untuk diberikan kepadaku. Tetapi apa yang telah berlaku sekarang? 16Adakah sekarang kamu menganggap aku sebagai musuh kerana aku memberitahu kamu apa yang benar itu? 17Semua orang lain itu berusaha dengan sungguh-sungguh supaya kamu memihak kepada mereka, tetapi tujuan mereka tidak baik. Mereka berniat memisahkan kamu daripada aku supaya kamu menumpukan perhatian kepada mereka sahaja. 18Memang baik menumpukan perhatian kepada hal-hal yang baik, asalkan jangan hanya semasa aku bersama-sama kamu. 19Anak-anak yang aku kasihi! Kerana kamu, sekali lagi aku menderita. Aku menderita seperti seorang ibu yang menderita pada masa melahirkan anak. Aku akan terus menderita sehingga kamu memiliki sifat-sifat Kristus. 20Aku ingin sekali bersama-sama kamu sekarang, supaya aku boleh meluahkan isi hati dengan nada yang lebih lembut. Aku tidak tahu akan berbuat apa lagi dengan kamu. 21Kepada kamu yang mahu diperhamba oleh Taurat, biarlah aku bertanya: Tidakkah kamu faham akan apa yang dikatakan oleh Taurat Musa? 22Di dalam Taurat tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki. Yang seorang dilahirkan oleh abdi wanita dan yang seorang lagi oleh wanita bebas. 23Anak Abraham daripada abdi wanita, dikandung dan dilahirkan seperti anak-anak lain. Tetapi anak Abraham daripada wanita bebas itu, lahir kerana dijanjikan oleh Allah. 24Peristiwa itu dapat digunakan sebagai kiasan. Kedua-dua orang wanita itu ibarat dua perjanjian. Hagar melambangkan perjanjian yang dibuat di Gunung Sinai, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai abdi. 25Jika orang bercakap tentang Hagar, mereka bercakap tentang Gunung Sinai, di negeri Arab. Hagar juga melambangkan kota Yerusalem dengan semua penduduknya yang sekarang ini sudah menjadi abdi. 26Tetapi Yerusalem yang di syurga itu bebas. Yerusalem itu seperti ibu kita. 27Di dalam Alkitab tertulis, “Berbahagialah kamu, hai wanita mandul! Bersorak-sorailah dan bersukacitalah, hai kamu yang tidak pernah merasakan sakit bersalin! Wanita yang ditinggalkan suaminya akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang hidup dengan suaminya.” 28Saudara-saudaraku, kamu anak-anak Allah yang dilahirkan kerana janji-Nya; sama seperti Ishak. 29Pada masa itu, anak yang dilahirkan oleh Hagar menganiaya anak yang dilahirkan kerana janji yang dibuat oleh Roh Allah. Demikian juga sekarang. 30Tetapi apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Di situ tertulis, “Usirlah abdi wanita itu dengan anak lelakinya, kerana anak daripada abdi wanita itu tidak akan mewarisi harta bapanya bersama-sama anak lelaki daripada wanita bebas itu.” 31Demikianlah, saudara-saudaraku, kita ini bukannya anak daripada abdi wanita, melainkan anak daripada wanita bebas.

will be added

X\