EFESUS 3

1Itulah sebabnya aku, Paulus, dipenjarakan kerana Kristus Yesus untuk kepentingan kamu orang bukan Yahudi. 2Tentu kamu sudah mendengar berita bahawa Allah, kerana rahmat-Nya telah memberi aku tugas ini untuk kepentingan kamu. 3Allah menyatakan rancangan-Nya yang dirahsiakan dan memberitahukannya kepadaku. (Hal itu sudah aku tulis dengan singkat. 4Jika kamu membacanya, kamu akan memahami pengertianku tentang rahsia Kristus.) 5Pada masa yang lampau manusia tidak diberitahukan rahsia itu, tetapi sekarang Roh Allah telah menyatakannya kepada para rasul dan nabi yang mengabdikan diri kepada Allah. 6Inilah rahsia itu: Melalui Berita Baik itu orang bukan Yahudi turut menerima berkat Allah bersama-sama orang Yahudi. Orang bukan Yahudi menjadi anggota daripada tubuh yang sama, dan menerima apa yang dijanjikan oleh Allah melalui Kristus Yesus. 7Allah merahmati aku dan melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diriku, aku ditugaskan untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. 8Akulah yang paling hina antara umat Allah, namun Allah mengurniai aku tugas istimewa untuk mengisytiharkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Berita Baik itu tentang berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus. 9Aku juga harus menjadikan semua orang tahu bagaimana Allah melaksanakan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu. Allah, Pencipta semesta alam ini merahsiakan rancangan-Nya sejak dahulu, 10supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah. 11Melalui Kristus Yesus Tuhan kita, Allah melakukan hal itu seperti yang dirancang-Nya sejak permulaan. 12Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan. 13Oleh itu, janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu. 14Itulah sebabnya aku bertelut di hadapan Bapa. 15Dialah yang menyebabkan setiap kaum di dunia dan di syurga menerima sifatnya yang khas. 16Aku berdoa kepada Allah supaya daripada berkat-Nya yang berlimpah-limpah di syurga, Dia menguatkan batin kamu dengan Roh-Nya. 17Semoga Kristus tinggal di dalam hati kamu, kerana kamu percaya kepada-Nya. Aku berdoa supaya semua perbuatan kamu berakarkan dan berdasarkan kasih. 18Dengan demikian kamu bersama-sama umat Allah, dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus, 19yang dengan akal manusia tidak dapat difahami sedalam-dalamnya. Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah. 20- 21Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan. Hendaklah Allah dimuliakan selama-lamanya di kalangan jemaah, melalui Kristus Yesus! Terpujilah Allah! Amin.

will be added

X\