KISAH RASUL-RASUL 28

1Setelah kami mendarat dengan selamat, baru kami tahu bahawa pulau itu bernama Malta. 2Penduduk pulau itu sangat mesra dengan kami. Hujan mula turun dan udara pun sejuk. Oleh itu mereka menyalakan api dan menyambut kami semua. 3Paulus mengumpulkan kayu dan ketika dia meletakkan kayu di atas api, seekor ular keluar kerana bahang api itu lalu memagut tangan Paulus. 4Apabila penduduk pulau itu melihat ular terjuntai pada tangan Paulus, mereka bercakap sesama sendiri, “Orang ini tentu pembunuh, tetapi dewi yang bernama Keadilan tidak membenarkan dia hidup, meskipun dia selamat daripada bahaya di laut.” 5Tetapi Paulus mengibaskan ular daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api, dan Paulus tidak cedera. 6Mereka menjangka tangan Paulus akan bengkak, atau tiba-tiba dia akan rebah mati. Tetapi setelah menunggu beberapa lama dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku kepadanya, mereka berubah fikiran lalu berkata bahawa Paulus itu dewa. 7Tidak jauh dari tempat itu terdapat tanah yang dimiliki oleh Publius, gabenor pulau itu. Dia menyambut kami dengan baik dan selama tiga hari kami menjadi tetamunya. 8Pada masa itu bapanya sedang demam dan menderita cirit-birit. Paulus masuk ke biliknya, lalu berdoa sambil meletakkan tangannya pada bapa yang sakit itu dan sembuhlah dia. 9Kerana peristiwa itu, semua orang sakit di pulau itu datang kepada Paulus, dan mereka semua disembuhkan. 10Mereka memberi kami banyak hadiah, dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa bekalan ke kapal bagi perjalanan kami. 11Tiga bulan kemudian kami belayar dari pulau itu dengan kapal dari Aleksandria yang menggunakan lambang “Dewa Kembar”. Kapal itu sudah berlabuh di pulau itu sepanjang musim sejuk. 12Kami tiba di kota Sirakusa dan tinggal di situ selama tiga hari. 13Dari situ kami belayar lagi dan tiba di kota Regium. Keesokan harinya angin mula bertiup dari selatan dan dalam dua hari kami tiba di kota Putioli. 14Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus, dan dengan jemputan mereka kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Lalu tibalah kami di Roma. 15Pengikut Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami. Mereka datang sampai ke Pasar Apius dan ke Penginapan Tiga untuk menyambut kami. Apabila Paulus berjumpa dengan mereka, dia bersyukur kepada Allah kerana hal itu menggalakkan dia. 16Apabila kami tiba di Roma, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri dengan dikawal oleh seorang askar. 17Selepas tiga hari, Paulus memanggil pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan. Sesudah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi, saya tidak bersalah apa-apa terhadap bangsa kita atau melanggar adat resam yang kita terima daripada nenek moyang kita. Meskipun demikian saya ditangkap di Yerusalem dan diserahkan kepada bangsa Roma. 18Setelah memeriksa perkara saya, orang Roma hendak membebaskan saya kerana mereka tidak mendapati saya melakukan kesalahan yang patut dihukum dengan hukuman mati. 19Tetapi orang Yahudi menentang keputusan itu, dan saya terpaksa mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar Roma, meskipun saya tidak mempunyai tuduhan terhadap bangsa saya sendiri. 20Itulah sebabnya saya minta berjumpa dengan saudara-saudara supaya boleh bercakap dengan saudara semua. Sebenarnya saya dibelenggu seperti ini, kerana Dia yang diharapkan oleh bangsa Israel.” 21Lalu mereka berkata kepadanya, “Kami belum menerima sepucuk surat pun dari Yudea tentang perkara saudara. Tiada seorang pun daripada mereka yang datang membawa khabar tentang saudara, atau bercakap buruk tentang saudara. 22Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu bahawa orang di serata tempat mencela kumpulan yang saudara anggotai.” 23Oleh itu mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Allah. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. 24Ada orang yang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Paulus, tetapi ada juga yang tidak percaya. 25Dengan pendirian yang berlainan mereka meninggalkan tempat itu, kerana Paulus mengatakan hal ini kepada mereka, “Memang benar apa yang dikatakan oleh Roh Allah melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang saudara-saudara! 26Allah berfirman, ‘Pergilah dan katakan hal ini kepada bangsa ini: Kamu akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; kamu akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, 27kerana seolah-olah fikiran bangsa ini tumpul, telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka akan kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’ ” 28Akhirnya Paulus berkata, “Saudara-saudara harus tahu bahawa perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan oleh Allah, sekarang sudah dikhabarkan kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan menerimanya!” 29[Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar sesama sendiri dengan sengit.] 30Selama dua tahun Paulus tinggal di Roma, di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut sesiapa sahaja yang datang melawatnya. 31Dengan kebebasan dan keberanian, Paulus mengkhabarkan ajaran tentang Pemerintahan Allah, dan memberikan ajaran tentang Tuhan Yesus Kristus.

will be added

X\