KISAH RASUL-RASUL 23

1Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama lalu berkata, “Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.” 2Imam Agung Ananias menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar mulut Paulus. 3Paulus berkata kepadanya, “Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!” 4Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, “Kamu menghina Imam Agung Allah!” 5Paulus menjawab, “Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. Memang di dalam Alkitab ada tertulis, ‘Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.’ ” 6Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.” 7Sebaik sahaja Paulus berkata demikian, orang Farisi dan orang Saduki mula bertengkar, lalu perhimpunan itu berpecah menjadi dua kelompok. ( 8Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan kebangkitan orang mati, dan tidak percaya akan adanya malaikat atau roh. Tetapi orang Farisi percaya akan ketiga-tiganya.) 9Lalu berlakulah pertengkaran yang sengit. Beberapa orang Farisi yang menjadi guru Taurat berdiri dan membantah dengan keras, “Orang ini tidak bersalah sedikit pun! Barangkali memang ada roh atau malaikat yang berkata-kata kepadanya!” 10Pertengkaran itu menjadi begitu sengit sehingga komandan itu takut kalau-kalau Paulus akan diserbu oleh mereka. Dia menyuruh askar-askarnya mengambil Paulus dari tengah-tengah mereka dan membawa dia ke kubu. 11Pada malam itu, Tuhan berdiri di sisi Paulus dan berkata, “Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang Aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.” 12Pagi-pagi keesokan harinya, beberapa orang Yahudi berkumpul untuk merancangkan suatu pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. 13Lebih daripada empat puluh orang termasuk dalam pakatan itu. 14Mereka pergi kepada ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi, lalu berkata, “Kami sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga kami membunuh Paulus. 15Oleh itu saudara-saudara dan anggota-anggota Majlis Agama hendaklah mengirim sepucuk surat kepada komandan Roma, untuk meminta dia membawa Paulus datang menghadap saudara semua, seolah-olah hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. Kami akan bersiap-siap untuk membunuh dia sebelum dia sampai ke sini.” 16Tetapi anak lelaki saudara perempuan Paulus mendengar berita tentang pakatan itu. Oleh itu dia masuk ke kubu dan memberitahu Paulus hal itu. 17Kemudian Paulus memanggil seorang pegawai tentera dan berkata kepadanya, “Bawalah pemuda ini kepada komandan; dia mahu memberitahukan sesuatu kepadanya.” 18Pegawai tentera itu membawa pemuda itu kepada komandan dan berkata, “Paulus, orang tahanan itu, memanggil saya. Dia menyuruh saya membawa pemuda ini kepada tuan, kerana dia mahu memberitahukan sesuatu kepada tuan.” 19Komandan itu memegang tangan pemuda itu, lalu membawa dia ke samping dan bertanya, “Apa yang hendak kamu beritahu saya?” 20Pemuda itu menjawab, “Orang Yahudi telah bersepakat meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah Majlis Agama hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. 21Janganlah percaya kepada mereka, kerana lebih daripada empat puluh orang akan bersembunyi untuk menunggu dia. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. Sekarang mereka sudah siap dan sedang menunggu jawapan tuan.” 22Komandan itu berkata, “Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu sudah melaporkan hal ini kepada saya.” Lalu dia menyuruh pemuda itu pulang. 23Kemudian komandan itu memanggil dua orang pegawai tenteranya dan berkata, “Siapkan dua ratus orang askar, tujuh puluh orang askar berkuda, dan dua ratus orang askar bertombak. Mereka harus berangkat ke Kaisarea pada pukul sembilan malam ini juga. 24Juga siapkan beberapa ekor kuda untuk Paulus, dan jagalah keselamatannya sehingga dia sampai kepada Gabenor Feliks.” 25Lalu komandan itu menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut: 26“Yang Terutama Gabenor Feliks. Salam daripada Klaudius Lisias. 27Orang Yahudi sudah menangkap orang ini dan hendak membunuh dia. Tetapi saya mendapati dia warganegara Roma. Oleh itu, saya dengan pasukan saya pergi menyelamatkan dia. 28Saya mahu mengetahui alasan mereka menuduh dia, maka saya membawa dia kepada Majlis Agama mereka. 29Saya mendapati tuduhan mereka bersangkutan dengan hukum mereka sendiri. Dia tidak melakukan apa-apa yang patut dihukum dengan hukuman mati ataupun hukuman penjara. 30Apabila saya diberitahu bahawa orang Yahudi sudah berkomplot untuk membunuh dia, dengan segera saya menghantar dia kepada Tuan Gabenor. Saya menyuruh para pendakwanya mengemukakan tuduhan mereka terhadap dia kepada Tuan Gabenor.” 31Askar-askar itu menjalankan tugas mereka dan membawa Paulus ke Antipatris pada malam itu juga. 32Keesokan harinya askar yang berjalan kaki kembali ke kubu, tetapi askar yang berkuda meneruskan perjalanan dengan Paulus. 33Apabila mereka tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat itu kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya. 34Gabenor membaca surat itu lalu bertanya kepada Paulus dari mana asalnya. Apabila gabenor mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia, 35gabenor berkata, “Baiklah! Saya akan memeriksa perkara kamu apabila pendakwa-pendakwa kamu tiba.” Lalu gabenor memberikan perintah supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dahulu dibina oleh Raja Herodes.

will be added

X\