KISAH RASUL-RASUL 2

1Apabila hari Pentakosta tiba, semua orang yang percaya kepada Kristus berkumpul di satu tempat. 2Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk. 3Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api yang menjalar dan menghinggapi setiap orang di situ. 4Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka. 5Pada waktu itu banyak orang Yahudi dari pelbagai negeri di seluruh dunia, tinggal di Yerusalem. Mereka orang yang menyembah Allah. 6Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing. 7Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, “Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea! 8Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing? 9Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia, 10dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma, 11baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!” 12Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, “Apakah maknanya semua ini?” 13Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, “Semua orang ini mabuk!” 14Lalu Petrus berdiri bersama-sama sebelas orang rasul yang lain. Dengan suara lantang dia mula berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi dan semua yang tinggal di Yerusalem! Dengarlah baik-baik dan benarkan saya menjelaskan hal ini. 15Semua orang ini tidak mabuk seperti yang saudara-saudara sangka, kerana kini baru pukul sembilan pagi. 16Tetapi hal ini sudah diberitahukan oleh Allah melalui Nabi Yoel: 17Allah berfirman, ‘Inilah yang akan berlaku pada akhir zaman, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua orang. Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka; orang muda kamu akan melihat hal-hal yang Aku perlihatkan kepada mereka, orang tua kamu akan mendapat mimpi yang Aku berikan kepada mereka. 18Bahkan ke atas hamba-hamba-Ku baik lelaki mahupun perempuan, akan Aku curahkan Roh-Ku pada masa itu, dan mereka akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka. 19Aku akan melakukan mukjizat di atas sana, di langit, dan keajaiban di bawah sini, di bumi. Kelak akan ada darah, api, dan asap tebal; 20matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi merah seperti darah, sebelum Hari Tuhan, hari yang besar dan mulia itu datang. 21Pada masa itu, sesiapa yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.’ 22Saudara-saudara orang Israel! Dengarlah kata-kata saya ini: Yesus orang Nasaret itu sudah diberikan tugas oleh Allah. Hal ini dinyatakan kepada saudara semua dengan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah melalui Dia. Saudara-saudara mengetahui hal itu, kerana semua peristiwa itu berlaku di kalangan saudara. 23Sesuai dengan rancangan-Nya sendiri, Allah sudah menentukan bahawa Yesus akan diserahkan kepada saudara-saudara. Saudara semua membunuh Dia ketika menyebabkan orang berdosa menyalibkan Dia. 24Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Allah membebaskan Dia daripada derita kematian, kerana tidak mungkin Dia dikuasai terus oleh kematian. 25Daud pernah berkata tentang Yesus, ‘Aku sentiasa melihat Engkau Tuhan di hadapanku; Engkau mendampingi aku, sehingga tiada apa pun dapat menyusahkan aku. 26Oleh itu aku bersukacita dan bergembira ketika berkata-kata; walaupun aku hanya manusia, tetapi aku tetap berharap kepada-Mu, 27kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di dunia orang mati. Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia itu hancur. 28Engkau sudah menunjukkan jalan yang menuju ke hidup sejati, dan aku bersukacita kerana Engkau menyertai aku.’ 29Saudara-saudara, saya harus berkata dengan jelas tentang nenek moyang kita Daud. Dia sudah meninggal dan dikuburkan, dan kuburnya masih ada antara kita sehingga sekarang. 30Allah bersumpah bahawa Dia akan melantik salah seorang keturunan Daud menjadi raja, seperti Daud sendiri. Daud tahu akan janji Allah itu, kerana Daud pun seorang nabi. 31Daud mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah. Oleh itu Daud bernubuat tentang kebangkitan Penyelamat yang diutus oleh Allah. Daud berkata, ‘Dia tidak akan ditinggalkan di dunia orang mati; tubuh-Nya tidak akan hancur di kubur.’ 32Yesus inilah yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Kami semua sudah menyaksikan hal itu. 33Allah mengangkat Yesus ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan Allah, dan Yesus menerima Roh Allah yang sudah dijanjikan oleh Bapa. Apa yang kamu lihat dan dengar sekarang ini adalah Roh itu yang sudah dicurahkan oleh Yesus ke atas kami. 34Daud sendiri tidak naik ke syurga, tetapi dia berkata, ‘Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, 35sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.’ 36Oleh itu semua orang Israel harus tahu bahawa Yesus yang saudara-saudara salibkan itu, ialah Dia yang sudah diangkat oleh Allah menjadi Tuhan dan Penyelamat!” 37Apabila orang ramai mendengar hal itu, mereka sangat gelisah. Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?” 38Petrus menjawab, “Hendaklah setiap orang di kalangan saudara bertaubat daripada dosa, lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, supaya dosa saudara-saudara diampunkan lalu saudara semua akan menerima pemberian Allah, iaitu Roh Allah. 39Allah menjanjikan hal itu untuk saudara-saudara dan keturunan saudara semua, serta untuk semua orang di tempat-tempat yang jauh - iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Tuhan Allah kita supaya datang kepada-Nya.” 40Demikianlah Petrus memberikan penjelasan kepada mereka. Dengan kata-kata lain, dia juga mendesak mereka supaya menyelamatkan diri daripada hukuman yang akan datang kepada orang jahat di negeri ini. 41Banyak orang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Petrus, lalu mereka dibaptis. Jumlah orang yang percaya kepada Kristus pada hari itu bertambah lagi dengan tiga ribu orang. 42Dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa bersama-sama. 43Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh rasul-rasul itu, sehingga semua orang kagum dan takut. 44Semua pengikut Kristus berkumpul dengan penuh keakraban, dan mereka berkongsi milik. 45Mereka menjual harta milik dan membahagi-bahagikan wang itu di kalangan mereka menurut keperluan masing-masing. 46Tiap-tiap hari mereka berkumpul di Rumah Tuhan, dan mereka makan bersama di rumah mereka dengan sukacita dan rendah hati. 47Mereka memuji Allah dan mereka dihormati oleh semua orang. Tiap-tiap hari Tuhan menambah bilangan mereka dengan orang yang diselamatkan oleh Allah.

will be added

X\