KISAH RASUL-RASUL 1

1Saudara Teofilus yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, 2sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh Allah memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. 3Selama empat puluh hari setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah. 4Apabila mereka berkumpul, Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, “Janganlah tinggalkan Yerusalem, tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. 5Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.” 6Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?” 7Yesus menjawab, “Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. 8Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.” 9Setelah Yesus berkata demikian, Dia diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia. Lalu awan menutupi Dia daripada pandangan mereka. 10Mereka masih memandang ke langit sementara Yesus diangkat, apabila dengan tiba-tiba dua orang berpakaian putih berdiri di sisi mereka. 11“Hai orang Galilea,” kata kedua-dua orang itu, “mengapa kamu berdiri menengadah ke langit? Yesus, yang kamu lihat diangkat ke syurga, akan kembali lagi dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat tadi.” 12Kemudian rasul-rasul itu kembali ke Yerusalem dari Bukit Zaitun, yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari bandar. 13Setibanya di Yerusalem, mereka pergi ke rumah tempat mereka menumpang, lalu naik ke bilik di tingkat atas. Rasul-rasul itu Petrus, Yohanes, Yakobus dan Andreas, Filipus dan Tomas, Bartolomeus dan Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon Patriot dan Yudas anak Yakobus. 14Dengan sehati mereka sering berkumpul dan berdoa bersama-sama wanita-wanita, termasuk Maria ibu Yesus, dan saudara-saudara Yesus. 15Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata. 16Dia berkata, “Saudara-saudara! Apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku. Dahulu Roh Allah melalui Daud bernubuat tentang Yudas, yang memimpin kumpulan orang yang menangkap Yesus. 17Yudas salah seorang daripada kita, kerana dia pun dipilih supaya bekerja bersama-sama kita.” ( 18Yudas membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan perbuatan jahat. Di situ dia jatuh lalu mati; perutnya terbelah dan isi perutnya terburai. 19Semua orang yang tinggal di Yerusalem mendengar kejadian itu. Itulah sebabnya dalam bahasa mereka sendiri, mereka menamakan tanah itu Akeldama, yang bererti “Tanah Darah.”) 20Petrus berkata lagi, “Hal itu berlaku, kerana di dalam kitab Mazmur tertulis, ‘Biarlah rumahnya menjadi kosong, janganlah tempat itu didiami orang.’ Ada tertulis juga, ‘Hendaklah orang lain mengambil alih tugasnya.’ 21Oleh itu seseorang harus menyertai kita untuk menjadi saksi bahawa Tuhan Yesus sudah bangkit daripada kematian. Orang itu haruslah salah seorang daripada orang yang sentiasa bersama-sama kita, pada masa kita mengikut Tuhan Yesus ke serata tempat. 22Dia harus sudah menyertai kita sejak Yohanes membaptis orang sehingga pada hari Yesus diangkat ke syurga.” 23Orang yang hadir di situ mencadangkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas (dia juga dipanggil Yustus), dan Matias. 24- 25Lalu mereka berdoa, “Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang. Yudas sudah meninggalkan tugasnya sebagai rasul dan sudah menerima ganjarannya. Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih untuk menjalankan tugas itu bagi menggantikan Yudas.” 26Kemudian mereka menentukan pilihan dengan undi dan Matias terpilih menjadi rasul untuk menyertai sebelas orang rasul yang lain.

will be added

X\