SURAT YOHANES YANG KETIGA 1

1Gayus, sahabat yang aku kasihi! Aku, pemimpin jemaah yang sangat mengasihimu, 2berdoa semoga semuanya baik dengan kamu, dan semoga kamu sihat, seperti jiwamu pun sihat. 3Aku sangat bersukacita ketika beberapa orang saudara Kristian tiba dan memberitahu aku betapa setianya kamu kepada Allah yang benar. Kamu memang sentiasa hidup menurut ajaran Allah. 4Tidak ada yang lebih menggembirakan aku daripada mendengar bahawa anak-anakku hidup menurut ajaran Allah. 5Sahabat yang aku kasihi! Kamu sungguh setia dalam kerja yang kamu lakukan untuk saudara-saudara Kristian, bahkan untuk orang Kristian yang belum kamu kenal. 6Mereka memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu. Tolonglah mereka supaya dapat meneruskan perjalanan dengan cara yang menyenangkan hati Allah. 7Kamu harus berbuat demikian kerana dalam tugas untuk memberitakan Kristus, mereka berangkat tanpa menerima bantuan apa-apa pun daripada orang yang tidak mengenal Allah. 8Oleh itu, kita orang Kristian, mesti menolong orang seperti itu, supaya kita dapat menjadi rakan sekerja dalam usaha mereka untuk memberitakan ajaran Allah. 9Aku sudah menulis sepucuk surat yang pendek kepada jemaah, tetapi Diotrefes yang ingin menjadi pemimpin jemaah, tidak mahu menurut kata-kataku. 10Apabila aku datang kelak, aku akan mendedahkan segala sesuatu yang telah dilakukannya, iaitu hal-hal jahat dan dusta yang dikatakannya tentang kami. Tetapi semua itu belum lagi cukup baginya. Dia tidak mahu menerima saudara-saudara Kristian semasa mereka datang. Bahkan dia menghalangi orang yang mahu menyambut saudara-saudara itu, dan dia berusaha untuk menghalau mereka keluar daripada jemaah! 11Sahabat yang aku kasihi, janganlah tiru apa yang buruk, tetapi tirulah apa yang baik. Sesiapa berbuat baik, dia milik Allah. Sesiapa berbuat jahat, dia belum mengenal Allah. 12Setiap orang memuji Demetrius, bahkan Allah pun memuji dia. Kami juga memuji dia, dan kamu tahu bahawa apa yang kami katakan itu benar. 13Banyak lagi yang hendak aku katakan kepadamu, tetapi lebih baik tidak melalui surat. 14Aku berharap dapat segera berjumpa denganmu, lalu kita dapat berbincang. 15Semoga Tuhan memberkati kamu. Semua sahabatmu di sini mengirim salam. Sampaikan salamku kepada semua sahabat di sana seorang demi seorang.

will be added

X\