2 TIMOTIUS 3

1Ingatlah hal ini! Pada hari-hari terakhir akan timbul banyak kesusahan. 2Manusia akan mementingkan diri sendiri, tamak dan serakah, sombong dan bongkak. Mereka akan menghina dan melawan ibu bapa, tidak tahu berterima kasih dan tidak mahu mengenal Allah. 3Mereka tidak mengasihi sesama manusia, tidak berbelas kasihan, suka mengumpat, suka akan keganasan; mereka kejam dan benci akan kebaikan. 4Mereka suka berkhianat, tidak berfikir panjang dan sombong. Mereka lebih menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Allah. 5Pada lahirnya mereka menjalankan kewajipan agama kita, tetapi mereka tidak menurut ajarannya. Jauhkanlah dirimu daripada mereka. 6Beberapa orang daripada mereka pergi ke rumah orang, lalu menguasai wanita yang tidak berpendirian dan dibebani perasaan berdosa serta dipengaruhi segala macam keinginan. 7Wanita-wanita itu selalu ingin belajar tetapi tidak dapat mengetahui ajaran yang benar itu. 8Sebagaimana Yanes dan Yambres melawan Musa dahulu, demikianlah juga semua orang ini menentang ajaran Allah. Fikiran mereka rosak dan iman mereka hancur. 9Tetapi mereka tidak akan berjaya, kerana semua orang akan tahu tentang kebodohan mereka, seperti yang dialami oleh Yanes dan Yambres dahulu. 10Tetapi engkau telah mengikut ajaranku, kelakuanku, dan tujuan hidupku. Engkau telah memperhatikan bagaimana aku sungguh percaya kepada Kristus dan sabar menanggung penderitaan; bagaimana aku mengasihi saudara seiman dan bertabah hati. 11Engkau melihat bagaimana aku menanggung penganiayaan dan penderitaan. Engkau tahu akan segala yang berlaku kepadaku di Antiokhia, Ikonium, dan Listra. Aku telah dianiaya dengan kejam, tetapi aku diselamatkan oleh Tuhan daripada semuanya. 12Semua orang yang mahu hidup beribadat dan bersatu dengan Kristus akan dianiaya. 13Orang jahat dan penipu akan menjadi semakin jahat. Mereka menipu orang lain, padahal mereka sendiri juga tertipu. 14Tetapi Timotius, hendaklah engkau tetap berpegang kepada ajaran benar yang sudah diajarkan kepadamu dan yang engkau percayai dengan sepenuhnya. Engkau mengetahui siapa guru-gurumu dahulu, 15dan sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus. 16Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah. 17Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.

will be added

X\