2 TESALONIKA 1

1Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius, serta ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi umat Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus. 2Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 3Saudara-saudaraku, kami harus sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu. Memang sepatutnya kami berbuat demikian, kerana kamu semakin percaya kepada Yesus dan kamu semakin mengasihi satu sama lain. 4Itulah sebabnya kami membanggakan kamu antara jemaah Allah di tempat lain. Dengan bangga kami menceritakan bagaimana kamu tetap percaya kepada Kristus semasa mengalami penganiayaan dan penderitaan. 5Di sini nyata betapa adilnya penghakiman Allah: Allah akan menjadikan kamu layak untuk menikmati Dunia Baru Allah, yang baginya kamu telah mengalami penderitaan. 6Allah akan melakukan apa yang adil. Dia akan mendatangkan penderitaan kepada orang yang membuat kamu menderita. 7Dia pun akan memberikan kelegaan kepada kamu yang menanggung penderitaan dan juga kepada kami. Allah akan melakukan hal ini apabila Tuhan Yesus turun dari syurga dan menampakkan diri dengan malaikat-malaikat-Nya yang perkasa, 8dan dengan api yang bernyala-nyala. Dia datang untuk menghukum orang yang tidak mahu mengakui Allah dan orang yang tidak mahu mentaati Berita Baik tentang Yesus Tuhan kita. 9Mereka akan menerima hukuman kebinasaan selama-lamanya; mereka akan terpisah daripada hadirat Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mulia. 10Semua itu akan berlaku, apabila Tuhan datang pada Hari itu kelak untuk menerima kemuliaan daripada semua umat-Nya dan penghormatan daripada semua orang yang percaya kepada-Nya. Kamu pun akan bersama-sama umat Allah itu, kerana kamu percaya kepada perkhabaran yang kami sampaikan. 11Itulah sebabnya kami sentiasa mendoakan kamu. Kami berdoa supaya Allah menjadikan kamu layak untuk hidup menurut kehendak-Nya; untuk hal itulah Dia telah memanggil kamu. Semoga Allah dengan kekuasaan-Nya memenuhi segala keinginan kamu untuk berbuat baik, dan menyempurnakan segala usaha yang kamu lakukan, kerana percaya kepada Kristus. 12Dengan demikian Yesus Tuhan kita akan kamu muliakan dan kamu pun akan dimuliakan oleh-Nya. Semuanya akan berlaku kerana rahmat Allah kita dan rahmat Tuhan Yesus Kristus.

will be added

X\