2 KORINTUS 6

1Kami bekerja bersama-sama Allah. Oleh itu kami menggesa kamu supaya tidak mensia-siakan rahmat Allah yang sudah kamu terima. 2Di dalam Alkitab, Allah berfirman, “Pada masa yang diperkenankan, Aku sudah mendengarkan engkau, dan pada hari penyelamatan, Aku sudah menolong engkau.” Ketahuilah bahawa sekaranglah masa yang diperkenankan Allah, dan sekaranglah hari kamu diselamatkan! 3Kami tidak mahu seorang pun mencela kerja kami. Oleh itu kami berusaha supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mencela kami. 4Sebaliknya, dalam segala hal kami menunjukkan bahawa kami hamba Allah, yang dengan sabar menanggung segala macam kesusahan. 5Kami telah disesah, dipenjarakan, dan diserang oleh orang ramai; kami bekerja keras, kurang tidur, dan kurang makan. 6- 7Dengan berlaku tulus, dengan menggunakan pengetahuan tentang Berita Baik, dengan bersabar, dengan kebaikan hati, dengan pertolongan Roh Allah, dengan kasih yang ikhlas, dengan memberitakan khabar daripada Allah, dan dengan kuasa Allah, kami menunjukkan bahawa kami ini hamba Allah. Kami berpegang pada cara hidup yang menurut kehendak Allah, sebagai senjata untuk menyerang mahupun untuk membela diri. 8Kami dihormati tetapi juga dihina; kami dipuji tetapi juga diumpat. Kami dianggap sebagai pembohong, walaupun kami jujur. 9Kami dianggap tidak terkenal, tetapi kami dikenal semua orang. Kami disangka mati, tetapi ternyata kami masih hidup. Meskipun kami dianiaya, kami tidak mati. 10Walaupun kami menanggung sengsara, kami sentiasa bersukacita. Kami nampaknya miskin, tetapi kami sudah mengayakan kehidupan rohani banyak orang. Nampaknya kami tidak memiliki apa-apa, tetapi sebenarnya kami memiliki segala-galanya. 11Sahabat-sahabatku di Korintus, kami sudah berterus-terang kepada kamu. Kami sudah mengutarakan segala isi hati kami. 12Kami tidak menahan diri daripada mengasihi kamu; kamulah yang menahan diri daripada mengasihi kami. 13Sekarang aku berkata-kata seperti kepada anak-anakku sendiri. Tunjukkanlah kasih kamu kepada kami. Bukalah hati kamu untuk kami! 14Janganlah cuba bekerjasama dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, kerana hal itu tidak sesuai. Kebaikan dan kejahatan tidak dapat bekerjasama. Cahaya dan kegelapan tidak dapat bersama-sama. 15Kristus tidak dapat bersetuju dengan Iblis. Orang Kristian tidak mempunyai hal yang sama dengan orang bukan Kristian. 16Tempat kediaman Allah tidak ada hubungannya dengan berhala. Kita ini tempat kediaman Allah yang hidup. Allah sendiri berfirman, “Aku akan tinggal bersama-sama mereka, dan hidup antara mereka; Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. 17Oleh itu, tinggalkanlah orang yang tidak mengenal Allah, dan asingkan diri daripada mereka. Janganlah berhubungan dengan sesuatu pun yang najis, maka Aku akan menerima kamu. 18Aku akan menjadi Bapa kamu, dan kamu akan menjadi anak-anak-Ku lelaki dan perempuan, demikianlah firman Tuhan Yang Maha Kuasa.”

will be added

X\