1 TESALONIKA 5

1Saudara-saudara seiman, kami tidak perlu menulis tentang masa dan waktu, apabila perkara-perkara ini akan berlaku. 2Hal itu demikian kerana kamu sendiri tahu dengan jelas bahawa Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri datang pada malam hari. 3Apabila orang berkata, “Semuanya aman dan tenteram,” pada waktu itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba dan tidak seorang pun dapat melepaskan diri. Hal itu akan berlaku dengan tiba-tiba seperti rasa sakit yang dialami seorang wanita semasa hendak melahirkan anak. 4Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti kedatangan seorang pencuri. 5Kamu semuanya orang yang hidup dalam cahaya, orang yang tergolong pada siang yang terang. Kita bukan orang yang hidup dalam kegelapan, atau yang tergolong pada malam yang gelap. 6Oleh itu kita tidak seharusnya tidur seperti orang lain. Kita harus berjaga-jaga dan berwaspada. 7Orang tidur pada malam hari; orang pun mabuk pada malam hari. 8Tetapi kita ini orang yang tergolong pada siang yang terang. Oleh itu kita harus berwaspada. Kita mesti percaya kepada Tuhan dan mengasihi orang lain, maka hal itu seperti melindungi diri dengan perisai dada. Dengan yakin kita berharap akan diselamatkan, dan hal ini seperti melindungi kepala dengan topi besi. 9Allah memilih kita bukannya untuk mengalami kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. 10Yesus mati untuk kita supaya kita boleh hidup bersama-sama Dia pada waktu Dia datang kelak, baik kita masih hidup ataupun telah mati pada waktu itu. 11Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan, seperti yang kamu lakukan sekarang ini. 12Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya menghormati mereka yang bekerja di kalangan kamu. Mereka memimpin dan menasihati kamu dalam kehidupan kamu sebagai orang Kristian. 13Perlakukanlah mereka dengan penuh hormat dan kasihilah mereka, kerana semuanya yang dilakukan oleh mereka. Hendaklah kamu hidup rukun. 14Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya memberikan amaran kepada orang yang malas bekerja, menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang. 15Janganlah seorang pun membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi kamu harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang. 16Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, 17dan berdoalah sentiasa. 18Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. 19Janganlah halang Roh Allah. 20Janganlah hina perkhabaran-perkhabaran yang diberikan oleh Roh Allah. 21Pertimbangkan semuanya; ikutlah apa yang baik, 22dan jauhilah segala macam kejahatan. 23Semoga Allah yang mengurniai kita kesejahteraan, menjadikan kamu sungguh-sungguh hidup khas untuk Allah. Semoga Allah menjaga roh, jiwa, dan tubuh kamu, sehingga tidak bercacat cela pada masa Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 24Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia. 25Doakanlah kami, saudara-saudara seiman. 26Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. 27Dengan kuasa Tuhan, aku menggesa kamu supaya membacakan surat ini kepada semua saudara seiman. 28Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua.

will be added

X\