1 TESALONIKA 4

1Akhirnya, saudara-saudaraku, kami telah memberikan teladan kepada kamu tentang cara hidup yang menyenangkan hati Allah. Aku tahu bahawa memang demikianlah cara kamu hidup. Tetapi sekarang demi nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menggesa kamu supaya berbuat lebih daripada hal itu. 2Aku berkata demikian kerana kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepada kamu dengan kuasa Tuhan Yesus. 3Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. 4Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia, 5serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. 6Dalam hal seperti ini, janganlah seorang pun berbuat salah terhadap saudaranya, ataupun memperdayakan dia. Kami telah memberitahu kamu hal ini dahulu dan telah memberikan amaran yang keras kepada kamu bahawa Tuhan akan menghukum orang yang melakukan kesalahan seperti itu. 7Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul, tetapi supaya kita hidup dengan cara yang menyenangkan hati Allah. 8Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Allah yang mengurniai kamu Roh-Nya yang suci. 9Tidak perlu kami menulis tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman. Kamu sendiri telah diajar oleh Allah bagaimana kamu harus saling mengasihi. 10Kamu sudah menunjukkan hal ini kepada semua saudara seiman di seluruh Makedonia. Oleh itu, saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya lebih saling mengasihi. 11Berusahalah hidup dengan tenang; janganlah campuri hal orang lain dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana kami katakan kepada kamu dahulu. 12Dengan cara ini kamu akan dihormati oleh mereka yang tidak percaya kepada Kristus. Kamu pun tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun bagi keperluan kamu. 13Saudara-saudaraku, kami ingin kamu mengetahui yang sebenarnya tentang mereka yang sudah meninggal dunia, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan. 14Kita percaya bahawa Yesus sudah mati dan hidup semula. Demikian juga kita percaya bahawa mereka yang percaya kepada Yesus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan semula oleh Allah supaya hidup bersama-sama Yesus. 15Yang kami beritahukan kepada kamu ini ajaran Tuhan: Pada hari Tuhan datang kelak, kita yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah meninggal dunia. 16Pada masa itu malaikat agung akan berseru dengan suara yang kuat dan trompet Allah dibunyikan, lalu Tuhan sendiri akan turun dari syurga. Mereka yang percaya kepada Kristus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan terlebih dahulu. 17Kemudian kita yang masih hidup pada waktu itu akan diangkat bersama-sama mereka ke awan untuk berjumpa dengan Tuhan di angkasa. Lalu kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya. 18Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini.

will be added

X\