1 KORINTUS 4

1Kamu harus menganggap kami sebagai hamba Kristus, yang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia. 2Inilah sifat utama yang harus dimiliki oleh seorang hamba seperti itu: Dia harus setia kepada tuannya. 3Aku tidak menghiraukan apa yang kamu fikirkan tentang diriku ataupun apa yang difikirkan oleh sesiapa pun tentang diriku. Apa yang aku fikirkan tentang diriku sendiri pun tidak penting. 4Aku tidak berasa bersalah, tetapi hal itu tidak membuktikan bahawa aku tidak bersalah. Tuhan sahaja yang berhak menentukan sama ada aku bersalah atau tidak. 5Oleh itu, janganlah kamu buat keputusan bahawa seseorang bersalah atau tidak, sebelum waktunya. Tunggulah sehingga Tuhan datang kelak; Dia akan mendedahkan segala rahsia yang tersembunyi dalam kegelapan. Dia juga akan membongkar segala niat yang terpendam di dalam hati manusia. Barulah setiap orang akan mendapat pujian yang layak diterimanya daripada Allah. 6Saudara-saudaraku! Demi kepentingan kamu, semua itu sudah aku kenakan kepada Apolos dan diriku sendiri. Dengan menggunakan diri kami sebagai contoh, kamu dapat memahami erti pepatah ini, “Patuhlah kepada peraturan yang ada.” Oleh itu tidak seorang pun antara kamu dapat membanggakan seseorang, dan menghina yang lain. 7Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada orang lain? Bukankah Allah yang mengurniai kamu segala yang kamu miliki? Oleh itu, bagaimanakah kamu dapat membanggakan diri, seolah-olah apa yang kamu miliki itu bukan suatu kurnia? 8Memang kamu tidak memerlukan apa-apa lagi! Memang kamu sudah kaya! Kamu sudah menjadi raja, tetapi kami tidak. Alangkah baiknya jika kamu benar-benar raja, supaya kami dapat memerintah bersama-sama kamu. 9Hal itu demikian, kerana pada pendapatku, Allah memberikan kedudukan yang paling hina kepada kami rasul-rasul. Kami seperti orang yang dijatuhi hukuman mati di hadapan umum, dan dijadikan tontonan untuk semua malaikat dan umat manusia. 10Kerana Kristus, kami menjadi orang bodoh, tetapi kerana Kristus kamu menjadi bijak. Kami lemah, tetapi kamu kuat! Kami dihina, tetapi kamu dihormati! 11Sampai saat ini kami lapar dan haus; baju kami buruk; kami dipukul; kami tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap; 12kami membanting tulang untuk mencari nafkah; kami membalas kutukan dengan berkat, dan bersabar apabila dianiaya. 13Kami membalas cacian dengan kata-kata manis. Kami dianggap seperti sampah masyarakat; hingga saat ini kami masih dianggap sebagai sampah dunia. 14Aku menulis hal ini kepada kamu bukanlah untuk mempermalukan kamu, tetapi untuk menasihati kamu seperti anak-anak sendiri yang aku kasihi. 15Aku berkata demikian kerana sungguhpun sebagai orang Kristian kamu mungkin mempunyai sepuluh ribu orang pengasuh, tetapi kamu hanya mempunyai seorang bapa. Dalam hidup kamu sebagai orang yang bersatu dengan Kristus Yesus, aku menjadi seperti bapa kepada kamu, kerana aku yang membawa Berita Baik kepada kamu. 16Oleh itu aku menggesa kamu supaya mengikut teladanku. 17Bagi tujuan itu aku mengutus Timotius kepada kamu. Sebagai pengikut Kristus, dia seperti anakku sendiri yang aku kasihi, dan dia dapat dipercayai. Dia akan mengingatkan kamu cara hidup yang aku ikuti setelah aku percaya kepada Kristus Yesus, iaitu cara hidup yang aku ajarkan kepada jemaah di mana-mana. 18Beberapa orang di kalangan kamu menjadi sombong, kerana mereka menyangka aku tidak akan melawat kamu. 19Jika diperkenankan Tuhan, aku akan melawat kamu tidak lama lagi. Lalu aku akan melihat apa yang dapat dilakukan oleh mereka yang sombong itu, bukan hanya apa yang dikatakan oleh mereka. 20Aku berkata demikian kerana Pemerintahan Allah dalam kehidupan seseorang dinyatakan oleh kekuatan hidupnya dan bukan oleh kata-katanya. 21Yang manakah pilihan kamu? Haruskah aku datang kepada kamu untuk mengajar dengan keras, atau datang untuk mengajar dengan kasih sayang dan kelembutan?

will be added

X\