1 KORINTUS 1

1Surat ini daripada Paulus yang dengan kehendak Allah sudah dilantik menjadi rasul Kristus Yesus, dan juga daripada saudara kita Sostenes. 2Surat ini ditujukan kepada jemaah di Korintus, iaitu semua orang yang sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi umat-Nya kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Surat ini juga ditujukan kepada semua orang di mana sahaja yang menyembah Tuhan kita Yesus Kristus, iaitu Tuhan mereka dan Tuhan kita juga. 3Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 4Aku sentiasa bersyukur kepada Allahku bagi kamu, kerana berkat yang sudah dikurniakan-Nya kepada kamu melalui Kristus Yesus. 5Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu menjadi kaya dalam segala hal. Pengetahuan kamu tentang segala sesuatu sangat dalam dan kamu pandai memberitakannya. 6Perkhabaran tentang Kristus sudah meresap ke dalam jiwa kamu, 7sehingga kamu tidak kekurangan satu berkat pun, sementara kamu menantikan Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 8Kristus sendiri akan meneguhkan kamu sampai pada akhirnya, supaya pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali, kamu didapati tidak bercela. 9Allah dapat dipercayai. Dialah Allah yang sudah memanggil kamu supaya menjadi satu dengan Anak-Nya, Yesus Kristus, Tuhan kita. 10Saudara-saudaraku! Dengan kekuasaan Tuhan kita Yesus Kristus, aku menggesa kamu semua supaya seia sekata sehingga tidak ada perpecahan di kalangan kamu. Hendaklah kamu bersatu, sehati dan sejiwa. 11Aku berkata demikian, kerana beberapa orang daripada keluarga Kloe memberitahu aku bahawa pertengkaran berlaku di kalangan kamu. 12Inilah yang aku maksudkan: Kamu semua mengatakan hal-hal yang berlainan. Ada yang berkata, “Aku mengikut Paulus”; ada juga yang berkata, “Aku mengikut Apolos”; ada pula yang berkata, “Aku mengikut Petrus”; dan yang lain pula berkata, “Aku mengikut Kristus.” 13Adakah Kristus terbahagi? Paulus tidak mati pada kayu salib untuk kamu! Kamu pun tidak dibaptis untuk menjadi pengikut Paulus! 14Aku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak membaptis sesiapa pun di kalangan kamu, kecuali Krispus dan Gayus. 15Dengan demikian tidak seorang pun dapat berkata bahawa kamu dibaptis untuk menjadi pengikutku. ( 16Oh ya, aku juga membaptis Stefanus dan keluarganya. Tetapi selain daripada mereka, seingatku aku tidak membaptis orang lain.) 17Kristus mengutus aku bukan untuk membaptis orang, tetapi untuk mengisytiharkan Berita Baik. Aku mengisytiharkannya tanpa menggunakan kata-kata yang berdasarkan kebijaksanaan manusia, supaya kuasa daripada kematian Kristus pada kayu salib tidak sia-sia. 18Bagi orang yang menuju kebinasaan, berita tentang kematian Kristus pada kayu salib itu tidak bererti apa-apa. Tetapi bagi kita yang diselamatkan oleh Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan Allah. 19Di dalam Alkitab tertulis, “Allah berfirman, ‘Kebijaksanaan orang bijak akan Aku musnahkan, dan pengertian orang berilmu akan Aku lenyapkan.’ ” 20Oleh itu, apakah gunanya orang bijak? Apakah gunanya ahli Taurat? Apakah gunanya orang berilmu? Allah sudah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia ini kebodohan belaka! 21Kerana Allah bijaksana, Dia menentukan supaya manusia tidak dapat mengenal-Nya melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Sebaliknya Allah menetapkan bahawa Dia menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya melalui perkhabaran kami yang dianggap suatu kebodohan. 22Orang Yahudi menuntut mukjizat sebagai bukti dan orang Yunani mementingkan kebijaksanaan. 23Tetapi kami mengisytiharkan Kristus yang disalibkan. Berita itu menyinggung perasaan orang Yahudi, dan dianggap suatu kebodohan oleh orang bukan Yahudi. 24Tetapi bagi mereka yang sudah dipanggil oleh Allah, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, berita itu Kristus, yang menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. 25Hal itu demikian kerana apa yang nampaknya seperti kebodohan Allah, sebenarnya lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia; apa yang nampaknya seperti kelemahan Allah, sebenarnya lebih kuat daripada kekuatan manusia. 26Saudara-saudaraku! Ingatlah akan keadaan kamu semasa Allah memanggil kamu. Menurut pandangan manusia hanya sedikit antara kamu yang bijak, atau berkuasa ataupun berkedudukan tinggi. 27Allah sengaja memilih orang yang dianggap bodoh oleh dunia ini, untuk mempermalukan orang yang bijak. Allah juga memilih orang yang dianggap lemah oleh dunia ini untuk mempermalukan orang yang berkuasa. 28Allah memilih orang yang dianggap rendah, hina dan tidak berguna oleh dunia ini, untuk menghancurkan orang yang dianggap penting oleh dunia ini. 29Hal ini bererti tidak seorang pun dapat memegahkan diri di hadapan Allah. 30Tetapi Allah sudah menjadikan kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Melalui Kristus, Allah menjadikan kita bijak. Melalui Kristus juga Allah memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, menjadikan kita umat-Nya yang khas dan membebaskan kita. 31Oleh itu, seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Sesiapa mahu berbangga, dia harus berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan.”

will be added

X\